Berita Utama

Kilang cemar Sg Gong akan diroboh

Pengusaha kilang juga diarah pulihkan tanah di kawasan sekitar

KUALA LUMPUR, 18 Muharram 1442H, Ahad – Kilang yang terbabit dalam insiden pencemaran air di Sungai Gong, Rawang sehingga menyebabkan lebih 1.2 juta pengguna di Lembah Klang terputus bekalan air akan dirobohkan selain pengusaha diarah memulihkan tanah di situ.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata arahan itu terkandung dalam Notis Pelanggaran Syarat (7A) yang akan dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Gombak kepada pengusaha kilang terbabit Isnin ini.

“Pemilik tanah terbabit mengusahakan bengkel membaiki jentera berat. Kita arahkan pemilik untuk pulihkan tanah, roboh bangunan dan henti operasi.

“Kita akan tutup kawasan itu selama tiga hingga empat bulan untuk pastikan tempat berkenaan selamat,” katanya.

Amirudin juga mendedahkan kilang berkenaan telah diberi notis henti operasi pada Mac lepas namun pemiliknya berdegil dan kembali memulakan operasi pada Jun lalu.

Bagi memastikan insiden sedemikian tidak berulang, Amirudin berkata kerajaan negeri akan meminda Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 bagi menaikkan denda maksimum daripada RM500,000 kepada RM1 juta terhadap mana-mana individu atau premis yang terbukti menyebabkan pencemaran sumber air di Selangor.

“Kita akan bentangkan pindaan ini pada persidangan dewan undangan negeri akan datang. Pada masa sama kita harap Kementerian Alam Sekitar dan Air dapat meminda akta berkaitan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata pihak yang bertanggungjawab terhadap pencemaran itu akan didakwa minggu depan.

Sementara itu, Amirudin berkata Air Selangor menjangkakan bekalan air ke kawasan terjejas pulih sepenuhnya pada 6 pagi Rabu ini.

Beliau turut menasihati pengguna yang kini telah menerima bekalan, agar tidak terburu-buru menadah dan menyimpan air yang boleh menyebabkan tekanan air rendah, sekali gus mengganggu proses pemulihan bekalan air.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button