Pendapat

Mengapa aktiviti pencerobohan tanah di Raub ambil masa lama untuk dibongkar?

TANAMAN durian Musang King telah menjadi satu komoditi pertanian yang popular di Malaysia sejak akhir-akhir ini di mana harga sekilo bagi durian ini boleh mencapai sehingga ratusan ringgit.

2. Faktor penanaman dusun durian Musang King di kawasan berbukit dan tanah tinggi telah menyumbang faktor rasa enaknya isi durian tersebut.

3. Ketika mana hasil durian Musang King sedang berlegar-legar di dalam pasaran Malaysia, kita tidak pernah mengambil tahu bagaimana pekebun-pekebun dusun durian tersebut memperoleh pemilikan tanah bagi tujuan penanaman hasil pertanian tersebut.

4. Baru-baru ini isu pemilikan tanah bagi tanaman durian Musang King telah menjadi panas apabila didapati bahawa tanah-tanah dusun yang berkeluasan lebih daripada 4,000 hektar merupakan tanah-tanah kerajaan yang diceroboh oleh pengusaha tanaman tersebut.

5. Persoalan yang timbul ialah, bagaimana isu pemilikan tanah ini telah berjaya disimpan dengan kemas selama bertahun-tahun?

6. Sebagaimana yang kita tahu, tanaman durian mengambil masa antara tiga hingga tujuh tahun untuk mengeluarkan hasilnya dan apa yang menjadi persoalan pokok, mengapa aktiviti pencerobohan tanah ini mengambil masa yang lama untuk dibongkar?

7. Persoalan lain yang ingin diketengahkan, bagaimana satu tempoh masa yang panjang isu pencerobohan tanah ini berjaya diselindung di mana hasil durian Musang King telah menjadi pilihan popular selama bertahun-tahun.

8. Tindakan ke atas pencerobohan tanah-tanah kerajaan telah diperuntukkan di dalam Seksyen 425, Kanun Tanah 1965 adalah seperti berikut :

425. Pendudukan secara tak sah, dll., tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.

(1) Mana-mana orang yang, tanpa kebenaran yang sah:

(a) menduduki, atau membina apa-apa bangunan di atas, mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan; atau

(b) membersih, membajak, menggali, mengepungi atau menanami mana-mana tanah sedemikian atau bahagian darinya; atau

(c) memotong atau memindah apa-apa kayuan atau hasil atas atau dari tanah sedemikian, adalah melakukan suatu kesalahan, dan boleh, jika disabitkan, dikenakan denda yang tidak melebihi sepuluh ribu ringgit, atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang tidak melebihi satu tahun.

(1A) Mana-mana orang yang bersubahat dalam melakukan suatu kesalahan di bawah subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, jika disabitkan, dikenakan denda yang tidak melebihi RM10,000, atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya.

(2) Bagi maksud seksyen ini, tanah kerajaan hendaklah termasuk semua tanah yang dipegang oleh atau bagi pihak kerajaan Persekutuan atau negeri, suatu pihak berkuasa tempatan atau suatu pihak berkuasa berkanun yang menjalankan kuasa yang terletakhak kepadanya oleh undang-undang Persekutuan atau negeri.

9. Berdasarkan kepada peruntukkan di dalam subseksyen (1), tindakan penceroboh pekebun tanah tanaman durian Musang King merupakan satu kesalahan di mana mereka boleh dijatuhkan hukuman sama ada denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya sekali.

10. Jika diteliti dengan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas penceroboh tersebut, ia dianggap ringan dan jika dibandingkan dengan hasil keuntungan daripada penjualan tanaman durian Musang King, tidak pun menjejaskan mereka.

11. Sehubungan itu, kita perlu melihat daripada pelbagai sudut terutama sekali dari aspek perekonomian negara kerana, tanaman durian merupakan antara komoditi pertanian yang mempunyai permintaan yang tinggi. Oleh itu, dalam mengimbangkan semua aspek dari sudut polisi, ekonomi dan sosial, maka pertimbangan-pertimbangan tertentu perlu diambilkira.

12. Dalam keadaan hubungan antara masyarakat yang agak kurang harmoni disebabkan oleh tiga bangsa utama Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India yang saling mempersoalkan beberapa polisi dan hak kesamarataan kaum di Malaysia.

13. Umpama menarik rambut di dalam tepung di mana tepung tidak berselerak dan rambut pula tidak putus maka, saya mencadangkan beberapa langkah dalam menangani isu ini.

Saranan dan Cadangan

1. Tindakan undang-undang ke atas penceroboh tanah-tanah kerajaan ini perlu diambil selaras dengan peruntukkan di dalam Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965.

2. Tindakan yang sama juga perlu diambil ke atas pentadbir-pentadbir awam yang bersubahat di mana selain daripada Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965, undang-undang lain yang bersangkutan dengan penyalahgunaan kuasa seperti Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Rasuah juga boleh diambil.

3. Memandang tanah-tanah tersebut telah diusahakan oleh penceroboh-penceroboh dalam pengeluaran hasil durian Musang King, disarankan supaya pemberian milikan tanah dengan tempoh pajakan tidak melebihi sehingga 60 tahun (bergantung kepada baki jangka hayat hasil durian Musang King) dan tempoh pajakan tersebut tidak boleh disambungkan setelah tamat pajakan. Oleh itu, tempoh 60 tahun tersebut perlu ditentukan baki tempoh pajakan dengan mengambil sejak bila tanah tersebut mula dibuka.

4. Mengenai saranan 13(c), peruntukkan mengenai tidak dibenarkan melanjutkan atau memperbaharui pajakan hendaklah dinyatakan di dalam Sekatan-Sekatan Kepentingan dalam dokumen hak milik tanah.

5. Tanah ini perlu didaftarkan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang di Kuantan di mana rasionalnya adalah untuk memastikan pemantauan dan kawalan ke atas tanah dapat dilaksanakan dari peringkat pusat pentadbiran negeri.

6. Bagi tanah-tanah yang telah diceroboh dan ditanam dengan tanaman durian Musang King serta masih mengeluarkan hasil, maka tunggakan cukai tanah akan dikenakan bermula dengan tarikh bila tanah tersebut telah diteroka. Tunggakan cukai ini adalah berasingan daripada bayaran denda yang dikenakan.

7. Demi mengimbangkan hak pemberi milikan tanah, maka kawasan tanah yang berhampiran dengan Raub hendaklah dibuka dengan jumlah keluasan sekurang-kurangnya sama dengan keluasan tanah yang diceroboh dan dicadangkan untuk diberi milik kepada pengusaha tanaman durian Musang King. Tanah ini mestilah secara automatiknya dimasukkan dalam kawasan Rizab Melayu dan diberi kepada kaum Melayu untuk turut sama menjalankan aktiviti pertanian durian Musang King.

8. Perkara ini tidak boleh dipersoalkan kerana hak dan keistimewaan Melayu telah dijamin di dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan seperti berikut :

Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang Persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu negeri) dan daripada biasiswa, dana siswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang Persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, dana siswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, dana siswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(4) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang Persekutuan mengikut Fasal (1) hingga (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melucutkan mana-mana orang daripada apa-apa jawatan awam yang dipegang olehnya atau daripada terus mendapat biasiswa, dana siswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain yang dinikmati olehnya.

(5) Perkara ini tidaklah mengurangkan peruntukan Perkara 136.

(6) Jika menurut undang-undang Persekutuan yang sedia ada suatu permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan fungsinya di bawah undang-undang itu mengikut apa-apa cara, atau memberikan apa-apa arahan am kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan di bawah undang-undang itu dengan pemberian permit atau lesen itu, sebagaimana yang dikehendaki untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklaah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(7) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh berkuat kuasa untuk melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu atau untuk memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-mana orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak seseorang jika pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.

(8) Walau apapun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika menurut mana-mana undang-undang Persekutuan apa-apa permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka undang-undang itu boleh membuat peruntukan bagi perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak; tetapi tiada undang-undang sedemikian boleh, bagi maksud memastikan perizaban itu—

(a) melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu; atau

(b) memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-mana orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang jika pembaharuan atau pemberian itu mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan, atau menghalang mana-mana orang daripada memindahkan hak milik bersama dengan perniagaannya apa-apa lesen yang boleh dipindahkan hak miliknya untuk mengendalikan perniagaan itu; atau

(c) jika tiada permit atau lesen dahuluya dikehendaki bagi mengendalikan pertukangan atau perniagaan itu, memberi kuasa untuk menolak pemberian permit atau lesen kepada mana-mana orang bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan yang telah dijalankan olehnya secara bona fide sebaik sebelum undang-undang itu mula berkuat kuasa, atau memberi kuasa untuk menolak pembaharuan kemudiannya mana-mana permit atau lesen mana-mana orang, atau untuk menolak pemberian mana-mana permit atau lesen sedemikian kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang itu jika, mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu, pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan. (8A) Walauapapun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika di dalam mana-mana universiti, kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Malaysian Certificate of Education atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan universiti, kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat-tempat itu, maka adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong menurut kuasa Perkara ini memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada pihak berkuasa itu untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada tempat-tempat itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(9) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak. (9A) Dalam Perkara ini ungkapan ‘anak negeri’ berhubung dengan negeri Sabah atau Sarawak hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Perkara 161A.

(10) Perlembagaan negeri yang beraja boleh membuat peruntukan yang bersamaan (dengan ubah suaian yang perlu) dengan peruntukan Perkara ini.

9. Berdasarkan kepada peruntukkan di dalam Perkara 153(10), Perlembagaan Persekutuan boleh digunakan bagi kerajaan negeri Pahang bagi membolehkan kuota tanah ini diperuntukkan kepada masyarakat Melayu dalam hal berkaitan dengan pemilikan tanah.

Profesor Madya Mohd Hasrol Haffiz  Aliasak

10. Pemberi milikan tanah bagi masyarakat Melayu ini boleh diberikan menurut Seksyen 42, Kanun Tanah Negara 1965 seperti berikut :

42. Kuasa pelupusan.

(1) Tertakluk kepada subseksyen (2), pihak berkuasa negeri hendaklah mempunyai kuasa di bawah akta ini:

(a) untuk memberi milik tanah kerajaan selaras dengan peruntukan-peruntukan seksyen 76;

(b) untuk merizabkan tanah kerajaan, dan memberi pajakan tanah rizab, selaras dengan peruntukan-peruntukan Bab 1 Bahagian Empat;

(c) untuk membenarkan pendudukan tanah kerajaan, tanah rizab dan tanah lombong di bawah lesen pendudukan sementara yang dikeluarkan selaras dengan peruntukan-peruntukan Bab 2 Bahagian Empat;

(d) untuk membenarkan mengeluar dan mengambil dari mana-mana tanah, selain dari hutan simpanan, selaras dengan peruntukan-peruntukan Bab 3 Bahagian Empat;

(e) untuk membenarkan penggunaan ruang udara atas tanah kerajaan atau tanah rizab selaras dengan peruntukan-peruntukan Bab 4 Bahagian Empat dengan syarat bahawa ruang udara tersebut hendaklah dalam lingkungan rangkai apa-apa jenis yang dibina di atasnya.

(2) Tiada apa jua dalam akta ini akan membolehkan pihak berkuasa negeri:

(a) melupuskan mana-mana tanah untuk maksud melombong (dalam pengertian Enakmen Perlombongan);

(b) membenarkan mengeluar atau mengambil bahan batuan dari mana-mana tanah untuk maksud mendapatkan logam atau galian daripadanya;

(c) melupuskan mana-mana tanah untuk maksud mengambil hasil hutan daripadanya; atau

(d) memberi milik mana-mana tanah supaya mempunyai kesan bahawa mana-mana tanah yang kurang daripada dua per lima hektar tertakluk kepada kategori ‘pertanian’ atau kepada mana-mana syarat yang memerlukan penggunaannya bagi apa-apa maksud pertanian yang dipegang oleh lebih dari seorang atau satu badan, dengan syarat bahawa pihak berkuasa negeri boleh, dalam keadaan-keadaan luar biasa, memberi milik tanah tersebut kepada lebih dari seorang atau satu badan walaupun tanah itu kurang dari dua per lima hektar.

11. Berdasarkan kepada peruntukkan di dalam Subseksyen 42(1), kerajaan negeri Pahang telah diberi kuasa untuk memberi milik tanah mengikut ketetapan dan peruntukkan yang terkandung di dalam Seksyen 76, Kanun Tanah Negara 1965 di mana ia merujuk kepada sama ada pegangan untuk selama-lamanya (Freehold) atau pegangan pajakan (Leasehold) untuk tempoh yang tidak melebihi 99 tahun. Namun dalam konteks pemberian tanah yang setara dengan keluasan tanah yang diceroboh dan dipertimbangkan pemberian milikan tanah kepada penceroboh, maka sekatan kepentingan yang lebih tegas boleh dimasukkan di dalam hakmilik tanah yang diberikan kepada masyarakat Melayu.

12. Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam topik sebelum ini, tanah-tanah yang akan diberikan kepada masyarakat Melayu yang setara dengan tanah yang diberi milik kepada penceroboh tersebut, maka tanah-tanah tersebut akan secara automatik dirizabkan sebagai Tanah Rizab Melayu menurut Enakmen Rizab Melayu (Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Bab 142) 1933 sebagaimana kuasa diperuntukkan di dalam Seksyen 3 seperti berikut :

3. Pengisytiharan Rizab Melayu

(i) Menteri Besar dengan kelulusan Raja Dalam Mesyuarat Negeri boleh melalui pengisytiharan dalam Warta untuk mengisytiharkan mana-mana tanah di dalam negeri sebagai Kawasan Simpanan Melayu.

(ii) Pengisytiharan tersebut hendaklah menyatakan dengan tepat dan munasabah mengenai had dan sempadan kawasan tanah tersebut sama ada dengan merujuk pada sempadan tanah yang telah diukur atau dengan merujuk kepada tanda-tanda semula jadi atau sebaliknya, yang membolehkan Menteri Besar untuk melihat dengan segera, tetapi ia tidaklah penting bagi tujuan pengisytiharan tersebut untuk mengukur dan memeriksa kawasan di mana ia dirujuk.

(iii) Tertakluk kepada peruntukkan di dalam Enakmen ini, setiap pengisytiharan hendaklah dengan seberapa segera diterbitkan di dalam Warta atau dalam keadaan tertentu, ia hendaklah berkuatkuasa kemudiannya menerusi suatu tarikh yang telah diperincikan.

13. Berdasarkan kuasa yang diberikan kepada kerajaan negeri di mana Menteri Besar memegang portfolio tanah untuk mengisytiharkan mana-mana tanah kerajaan yang terletak di dalam kawasan yang sama dengan tanah yang diceroboh oleh pengusaha tanaman durian Musang King dengan harapan agar pemilik-pemilik Melayu yang diberi milik tanah ini dapat mengusahakan aktiviti tersebut.

14. Sebagai tambahan kepada tanah-tanah yang diberi milik di bawah Seksyen 42 Kanun Tanah Negara 1965 dan diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu di bawah Seksyen 3, Enakmen Rizab Melayu (Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Bab 142) 1933 dan bagi membuat suatu sekatan dan larangan yang lebih tegas, maka di dalam Sekatan-Sekatan Kepentingan tersebut perlu dinyatakan bahawa permohonan pembatalan status Tanah Rizab Melayu tidak dibenarkan.

15. Manakala pembukaan permohonan tanah baharu yang dikategorikan Tanah Rizab Melayu, pemohon yang akan dipertimbangkan ialah bekas-bekas anggota pasukan keselamatan seperti tentera dan polis yang berbangsa Melayu sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam Seksyen 2, Enakmen Rizab Melayu (Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Bab 142) 1933 iaitu “beragama Islam”, berketurunan Melayu atau mana-mana Suku Malayan” dan “bertutur dalam Bahasa Melayu atau mana-mana Suku Malayan”.

Rumusan

1. Berdasarkan dengan pernyataan dan saranan yang dinyatakan, isu-isu berkaitan dengan tanah ini amat berkait rapat dengan polisi, ekonomi dan sosial serta ia mampu mencetuskan sentimen perkauman yang tinggi.

2. Oleh yang demikian, dalam melaksanakan sesuatu polisi atau tindakan yang mempunyai darjah tinggi yang boleh menyentuh sentimen perkauman, cadangan dan saranan ini perlu dilihat dari segi aspek polisi, ekonomi dan sosial.

3. Dari aspek polisi, penilaian dan penelitian ke atas peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 42 Kanun Tanah Negara 1965 dan Seksyen 3 Enakmen Rizab Melayu (Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Bab 142) 1933 perlu diambilkira dan dalam masa yang sama, tindakan undang-undang ke atas pesalah atau pihak yang bersubahat juga perlu diambilkira.

4. Demi melindungi kepentingan ekonomi negara, maka kaedah pemberi milikan tanah adalah solusi yang baik dalam mengekalkan aktiviti sedia ada dan dalam masa yang sama dalam mengimbangi tuntutan sosial, maka masyarakat Melayu perlu dilibatkan sama dalam aktiviti ekonomi yang sama.

5. Namun begitu, sekiranya kawasan tanah yang diceroboh tersebut merupakan kawasan Rizab Hutan Simpan Kekal atau Kawasan Rizab Orang Asli, maka tiada pilihan lain melainkan tanah tersebut terpaksa dirampas.

Disediakan oleh :

Mohd Hasrol Haffiz  Aliasak, PhD.
Profesor Madya
Jabatan Pengurusan Hartanah
Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur
Universiti Teknologi Mara Cawangan Perak
Kampus Seri Iskandar

6 September 2020

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button