Berita Utama

PKPP: Masih ramai ingkar jarak fizikal, tak pakai pelitup muka

Ia antara SOP diwajibkan sepanjang pelaksanaan PKPP

KUALA LUMPUR, 18 Muharram 1442H, Ahad – Tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal adalah antara kesalahan masih banyak dilakukan orang ramai walaupun ia antara prosedur operasi standard diwajibkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ia terbukti apabila daripada 131 tangkapan dibuat kerana ingkar PKPP semalam, dua kesalahan tersebut mencatat jumlah paling ramai ditahan iaitu 73 (aktiviti yang menyukarkan penjarakan fizikal) dan 31 lagi tidak memakai pelitup muka

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesalahan lain ialah gagal menyediakan peralatan/catatan keluar masuk (20), langgar perintah kuarantin (2), premis beroperasi lebih masa (4) dan premis beroperasi tanpa lesen perniagaan (1).

“Bagi Operasi Benteng pula, seramai 67 pendatang tanpa izin dan empat tekong ditahan semalam kerana cuba memasuki negara ini secara haram melalui lorong-lorong tikus.

“Operasi turut membuat rampasan melibatkan satu bot dan empat kenderaan darat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata bagi kuarantin wajib sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 23,590 individu dari 32 negara telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Beliau berkata mereka ditempatkan di 68 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,162 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 14,362 lagi individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sejak 30 Mac, sebanyak 9,849 operasi sanitasi awam merangkumi 134 zon dilaksanakan melibatkan 12,965 premis yang terdiri 2,706 pusat perniagaan, 5,703 bangunan kerajaan, 1,596 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,606 tempat awam dan 354 pasar raya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button