Uncategorized

Popularkan Jawi, jangan pupus seperti Rencong, Kawi, Pallava

Pelik tulisan lain dipromosi tanpa sekatan, tapi tulisan Jawi ditentang

BANGI, 18 Muharram 1442H, Ahad – Tidak mustahil tulisan Jawi bakal mengalami nasib sama seperti tulisan Rencong, Kawi dan Pallava jika tidak diperbetulkan daripada sekarang, kerana ia semakin dilupakan, kata Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Beliau berkata, kekhuatiran itu mempunyai asas yang kuat kerana perkara itu sudah pun berlaku kepada tulisan Melayu lama.

“Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya orang Melayu mempunyai tulisannya sendiri sebelum pengaruh luar negara datang. Tulisan Melayu dahulu dikenali sebagai tulisan Rencong. 

“Tulisan ini berhuruf serong. Selain itu terdapat juga beberapa tulisan lain seperti tulisan Kawi dan Pallava. Namun, kesemua tulisan itu tidak lagi dikuasai oleh orang Melayu dan boleh dikatakan hampir pupus. 

“Kini sangat sukar untuk kita mencari orang yang mahir menulis dalam tulisan-tulisan tersebut,” katanya dalam artikel yang disiarkan di Sinar Online, hari ini.

Mengulas mengenai permulaan tulisan Jawi, Zainul Rijal berkata, kedatangan Islam membawa pengaruh kepada tulisan Melayu yang ditulis dalam huruf Jawi Arab dengan beberapa penambahan seperti huruf cha dan nga yang tiada dalam huruf Arab. 

Manakala, pengaruh Inggeris pula mempopularkan tulisan Rumi berbanding tulisan Jawi, katanya lagi. 

“Sehingga kini tulisan Rumi lebih dikuasai di Malaysia berbanding tulisan Jawi walaupun Jawi masih digunakan sehingga kini.

“Tulisan Jawi sudah disemai sebati dalam jiwa orang Melayu. Ia hanyalah alat kepada perantaraan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan kita. 

“Ia tiada kaitan dengan agama ataupun sasaran dakwah golongan tertentu,” katanya.

Beliau turut membidas golongan yang mengatakan tulisan Jawi akan menyebabkan proses pengislaman seseorang.

Beliau menyifatkan ia sebagai satu pandangan yang sangat dangkal kerana bahasa Melayu suatu ketika dahulu menjadi lingua franca di nusantara dan tiada kena-mengena dengan proses Islamisasi.

“Sebagai lingua franca di nusantara suatu ketika dahulu, tulisan Jawi menjadi graha ilmu, perdagangan, komunikasi antarabangsa dan pentadbiran. 

“Tulisan Jawi juga menjadi swadaya dan jati diri masyarakat nusantara ketika itu. Mereka masih menjadi orang Melayu walaupun telah beragama Islam. Tidak sesekali mereka mengaku menjadi orang Arab,” katanya.

Zainul Rijal berkata, sehubungan itu, tulisan Jawi perlu dipopularkan kembali agar ia tidak hanya tinggal di muzium kelak.

“Mengembalikan populariti tulisan Jawi sangat perlu dilakukan ketika ini. Malangnya saya melihat kedudukan tulisan Jawi sangatlah diabaikan melainkan di beberapa buah negeri dan pihak berkuasa tempatan sahaja. 

“Yang peliknya tulisan lain dalam bahasa lain dipromosi dengan bebas tanpa sekatan tetapi tulisan Jawi ditentang penggunaannya.

“Hidupkan kembali tulisan Jawi di samping sebarkan penggunaan tulisan Rumi. Ia tiada kaitan dengan sebarang usaha untuk mengislamkan orang bukan Islam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button