Tangkap pemberi rasuah, kedaulatan lebih penting daripada kepentingan parti
Rakyat mahu pemimpin politik Melayu pertahan tanah diceroboh
BANGI, 18 Muharram 1442H, Ahad – Isu pencerobohan tanah-tanah kerajaan adalah isu besar dan menjejaskan kedaulatan negara.
Pihak berwajib termasuk kementerian dan pihak berkuasa sewajarnya menyambut isu ini dengan bersungguh-sungguh dan tidak hanya mengharapkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat semata-mata untuk bersuara.
Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaha menegaskan, selain itu, usah biarkan hanya pemuda parti-parti politik sahaja yang berdemonstrasi.
Ini kerana, kata beliau, rakyat sebenarnya mahu melihat pimpinan parti politik sendiri yang turun dan mempertahankan tanah-tanah tersebut.
“… tetapi malangnya ianya tidak berlaku. Lihat sahaja MCA dan DAP di mana pimpinan parti sendiri yang bersungguh-sungguh membela para penceroboh.
“Apa yang paling penting ialah, rakyat mengharapkan supaya bukan sahaja penerima-penerima rasuah dikenakan tindakan tetapi yang paling penting ialah pemberi rasuah mesti dikenakan tindakan yang berat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Haji Aminuddin berkata, rakyat dan NGO-NGO perlu menjadi semak dan imbang yang kuat untuk mengimbangi tindak-tanduk pemain politik yang terlalu suka berpolitik sehingga sanggup mengorbankan pelbagai perkara.
Beliau berharap agar tiada sebarang rundingan lanjut di belakang tabir kerana pertimbangan atau ‘seni’ politik.
Lebih-lebih lagi, parti kerajaan sendiri, iaitu MCA telah menubuhkan satu jawatankuasa khas membela penceroboh tersebut, katanya.
“Kita semua tahu (dan sering pejam sebelah mata) bahawa mereka ini kuat melobi dan mengugut atas nama undi.
“Rakyat sudah tidak tahan dan muak dengan tindakan-tindakan kerajaan dan parti-parti Melayu yang sering berkompromi atas sebab-sebab kepentingan politik parti.
“Apakah kepentingan politik parti anda lebih penting dari kedaulatan negara dan rakyat?,” soalnya.
Sehubungan itu, pemimpin atasan digesa untuk segera bertindak sebelum semua tanah kerajaan disapu bersih oleh pemberi-pemberi rasuah dan para pengkhianat negara.
“Ayuh, bukalah mata!,” tegasnya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengumpul maklumat berhubung isu pencerobohan tanah kerajaan negeri Pahang yang dijadikan ladang durian secara haram di Raub.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, beliau sudah mengarahkan SPRM Pahang mengadakan pertemuan segera dengan beberapa pihak bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu itu.
Katanya, pertemuan dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang serta Pejabat Tanah dan Galian Pahang itu penting bagi memastikan maklumat tepat diperoleh sebelum siasatan lanjut dijalankan.
“Saya juga sudah mengarahkan SPRM Pahang untuk mengadakan kerjasama dengan beberapa pihak berkuasa negeri yang pada ketika ini turut menyiasat isu pencerobohan tanah berkenaan,” katanya.