200 pegawai PBB di Syria positif COVID-19
Angka sebenar mungkin lebih tinggi, ramai doktor meninggal ada simptom wabak

DAMSYIK, 19 Muharram 1442H, Isnin – Lebih 200 kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Syria disahkan dijangkiti COVID-19, ketika organisasi antarabangsa meningkatkan usaha mengawal penyebaran penyakit di negara yang dilanda perang.
Terdapat di antara mereka dirawat di hospital dan tiga telah dievakuasi secara perubatan, kata pegawai tertinggi PBB di Syria dalam surat yang dibocorkan kepada Reuters dari seorang kakitangan tempatan yang dijangkiti.
Pekerja dan pegawai perubatan mengatakan jumlah kes sebenar jauh lebih tinggi, termasuk ratusan kakitangan yang diambil oleh rakan NGO yang bekerja untuk agensi PBB yang mengawasi operasi bantuan kemanusiaan terbesar di negara ini.
Penyelaras Kemanusiaan PBB untuk Syria, Imran Riza berkata, terdapat peningkatan sepuluh kali ganda jangkitan COVID-19 sejak dua bulan ini, merujuk kepada angka Kementerian Kesihatan – 3,171 kes dan 134 kematian sejak kes pertama dilaporkan pada 23 Mac.
“Situasi epidemiologi di seluruh negara telah banyak berubah,” kata Riza.
PBB berkata, penyebaran coronavirus tidak terkawal kerana infrastruktur kesihatan telah hancur akibat perang dan bekalan perubatan terbatas.
Pegawai perubatan dan pekerja bantuan yang berpusat di Damsyik ragu-ragu terhadap angka rasmi, mengatakan pihak berkuasa melindungi angka sebenar. Namun, pihak berkuasa menafikannya tetapi mengakui ujian adalah terhad.
Terdahulu, Human Rights Watch (HRW) melaporkan jumlah kematian petugas barisan hadapan yang memerangi wabak COVID-19 kian meningkat
Sebanyak 33 kematian membabitkan para doktor telah disahkan akibat simptom berkait rapat dengan COVID-19.
Kumpulan hak asasi itu berkata, kebanyakan doktor yang meninggal dunia disebabkan gejala berkait rapat dengan COVID-19, tambahan pula mereka tidak menjalani sebarang ujian saringan wabak berkenaan.- Agensi