Berita UtamaDunia

300 pelarian Rohingya mendarat di Pulau Sumatera

Perlu buat saringan, bimbang dijangkiti wabak COVID-19

LHOKSEUMAWE, 19 Muharram 1442H, Isnin – Kira-kira 300 pelarian Rohingya ditemui masuk ke Pulau Sumatera, Indonesia hari ini, menurut pihak berkuasa.

Ketua Kampung Ujong Blang, Munir Cut Ali berkata, penduduk tempatan bertindak menolong pelarian berkenaan, ketika mereka mendarat berdekatan bandar Lhokseumawe, di pesisir pantai utara Sumatera.

“Kami melihat kapal datang ke darat di Ujong Blang, jadi kami menolong mereka mendarat dengan selamat,” katanya kepada pemberita.

Pada masa sama, ketua tentera wilayah itu, Roni Mahendra berkata, sekurang-kurangnya seorang daripada anggota kumpulan itu, membabitkan 102 lelaki, 181 wanita dan 14 kanak-kanak dilaporkan sakit dan terpaksa dikejarkan ke hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, Mahendra berkata, kumpulan pelarian itu perlu melakukan ujian saringan terlebih dahulu, bimbang mereka dijangkiti wabak COVID-19.

“Pihak kerajaan tempatan akan mencari tempat yang sesuai untuk mereka tinggal,” katanya.

Tidak jelas berapa lama warga Rohingya terbabit berada di laut atau jenis kapal yang mereka naiki.

Kumpulan yang dilaporkan itu juga terbesar di Indonesia sejak 2015.

Kejadian itu berlaku selepas kira-kira 100 warga Rohingya yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak tiba di kawasan sama pada Jun lalu, dan mereka menyifatkan perjalanan di laut sebagai berbahaya selama empat bulan.

Mereka mendakwa terpaksa minum air kencing sendiri untuk terus hidup malah dipukul oleh dalang pemerdagangan manusia.

Para pelarian terbabit juga mendakwa bahawa mereka berangkat awal tahun ini dari sebuah kem pelarian Rohingya di Bangladesh, yang terletak bersebelahan dengan Myanmar.

Sekurang-kurangnya sejuta Rohingya tinggal di kem pelarian Bangladesh, di mana dalang penyeludup manusia mengambil kesempatan menawarkan tempat berlindung apabila menjumpai mereka. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button