384 orang terjejas banjir di Johor
Mangsa terjejas ditempatkan di PPS di Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi
JOHOR BAHRU, 18 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Tiga daerah di negeri ini kini dilanda banjir berikutan hujan berpanjangan sejak semalam, dengan seramai 348 orang daripada 87 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), sehingga tengah hari tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata, setakat 12 tengah hari, lima PPS sudah dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa yang terjejas di daerah Johor Bahru, Kluang serta Kota Tinggi.
“Di Johor Bahru, dua PPS dibuka pada petang semalam dan malam tadi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10, Skudai, yang menempatkan seramai 90 orang penduduk dari Kampung Laut Batu 10, Skudai dan Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Masai, yang menempatkan 185 penduduk dari Kampung Sentosa Barat serta Kampung Sentosa Damai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Vidyananthan berkata, dua PPS turut dibuka di Kota Tinggi pagi tadi iaitu SK Telok Ramunia yang menempatkan 30 orang penduduk dari Kampung Bukit Raja, Pengerang serta Dewan Seri Delima, Kampung Sungai Telor, yang menempatkan 20 penduduk dari Kampung Sungai Telor, Pengerang.
Beliau berkata, satu PPS turut dibuka pagi tadi di Kluang iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ping Ming, yang menempatkan 23 penduduk dari Kampung Yap Tau Sah.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menyediakan bekalan makanan di semua PPS itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohd Solihan Badri berkata, berlaku jalan jerlus di laluan Jalan Kluang-Mersing berhampiran Kampung Contoh, Kahang, dekat Kluang, namun, masih boleh dilalui kenderaan.
Beliau berkata, tiga lokasi lain di laluan sama iaitu di Ladang Pakloh, Taman Industri Batu 4 serta Kampung Gajah, Kluang, tidak boleh dilalui kenderaan ringan ekoran dinaiki air antara 0.2 dan 0.6 meter.
Katanya, pihak Jabatan Kerja Raya kini sedang memantau jalan-jalan dinaiki air itu termasuk memasang papan tanda amaran banjir. -Bernama