Berita Utama

Isu bendera terbalik, pertikai kuasa Raja Melayu, mana prinsip Rukun Negara?

Tanpa perpaduan, negara jadi lemah dan mudah diceroboh anasir luar

BANGI, 19 Muharram 1442H, Isnin – Beberapa insiden dan rentetan peristiwa sejak kebelakangan ini memberi gambaran prinsip Rukun Negara kini seolah-olah sudah dilupakan serta tidak lagi relevan dalam konteks kehidupan masyarakat yang prihatin.

Setiap kali menjelang Hari Kebangsaan, masih wujud isu bendera terbalik, menukar Jata Negara dan sengaja mengibarkan bendera bukan Jalur Gemilang yang bertentangan dengan undang-undang negara, kata Profesor Datuk Dr Ismail Sualman.

Lebih malang, Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, tindakan seperti mempertikaikan kuasa Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera masih menjadi agenda pihak tertentu.

Beliau mengingatkan, tidak perlu menggadai keamanan yang dikecapi hanya kerana perasaan iri hati dan ketidakpuasan yang tidak dikongsi majoriti rakyat.

“Jangan kita leka dengan iklim kemakmuran dan keamanan Malaysia kerana ia menjadi sasaran pihak luar yang mula mencabar kedaulatan dan persempadanan negara.

“Keprihatinan rakyat dan kerajaan menjadi resipi berdekad lamanya rakyat daripada satu generasi ke satu generasi berbilang kaum untuk hidup bersama dengan aman dan harmoni,” katanya menulis di Sinar Harian, hari ini.

Dr Ismail berkata, rakyat Malaysia perlu mengetahui pentingnya bersatu padu dan hidup dengan aman damai serta dapat menghindari sifat curiga antara satu sama lain terutama ketika dilanda bencana.

Ini kerana, perpaduan kaum pula adalah matlamat penting yang ingin dicapai oleh semua negara di dunia termasuklah Malaysia.

“Tanpa perpaduan, sesebuah negara akan menjadi lemah, sukar untuk dibangunkan dan mudah diancam serta diceroboh oleh anasir luar atau dalam negara itu sendiri.

“Justeru, Rukun Negara menjadi satu titik permulaan ke arah pencapaian perpaduan dalam kalangan semua etnik di Malaysia. Apabila rakyat Malaysia menghayati maksud Rukun Negara, maka ia akan memudahkan proses pentadbiran negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button