Berita Utama

Kebun ‘Musang King’ di Raub wajar dijadikan Tanah Rizab Melayu

Syor pekebun haram bayar tunggakan cukai tanah bermula tarikh diteroka

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 19 Muharram 1442H, Isnin – Tindakan undang-undang ke atas penceroboh tanah kerajaan di Raub perlu diambil selaras dengan peruntukan di dalam Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965.

Pensyarah Kanan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar di Perak, Prof Madya Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak menegaskan, tindakan yang sama juga perlu diambil ke atas pentadbir-pentadbir awam yang bersubahat.

Katanya, selain Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965, undang-undang lain yang bersangkutan dengan penyalahgunaan kuasa seperti Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Rasuah juga boleh diambil terhadap pentadbir awam terbabit.

“Memandangkan tanah-tanah tersebut telah diusahakan oleh penceroboh-penceroboh dalam pengeluaran hasil durian Musang King, disarankan supaya pemberian milikan tanah dengan tempoh pajakan tidak melebihi sehingga 60 tahun (bergantung kepada baki jangka hayat hasil durian Musang King)

“Serta tempoh pajakan tersebut tidak boleh disambungkan setelah tamat pajakan. 

“Oleh itu, tempoh 60 tahun tersebut perlu ditentukan baki tempoh pajakan dengan mengambil sejak bila tanah tersebut mula dibuka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Selain itu, beliau berkata, tanah itu perlu didaftarkan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang di Kuantan di mana rasionalnya adalah untuk memastikan pemantauan dan kawalan ke atas tanah dapat dilaksanakan dari peringkat pusat pentadbiran negeri.

Manakala, bagi tanah-tanah yang telah diceroboh dan ditanam dengan tanaman durian Musang King serta masih mengeluarkan hasil, maka tunggakan cukai tanah akan dikenakan bermula dengan tarikh bila tanah tersebut telah diteroka. 

“Tunggakan cukai ini adalah berasingan daripada bayaran denda yang dikenakan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Hasrol berkata, demi mengimbangkan hak pemberi milikan tanah, kawasan tanah yang berhampiran dengan Raub hendaklah dibuka dengan jumlah keluasan sekurang-kurangnya sama dengan keluasan tanah yang diceroboh.

Ia dicadangkan untuk diberi milik kepada pengusaha tanaman durian Musang King, katanya.

“Tanah ini mestilah secara automatik dimasukkan dalam kawasan Tanah Rizab Melayu dan diberi kepada kaum Melayu untuk turut sama menjalankan aktiviti pertanian durian Musang King.

“Perkara ini tidak boleh dipersoalkan kerana hak dan keistimewaan Melayu telah dijamin di dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan seperti berikut; Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.

Justeru, katanya, demi melindungi kepentingan ekonomi negara, maka kaedah pemberi milikan tanah adalah solusi yang baik dalam mengekalkan aktiviti sedia ada.

Pada masa sama, Dr Hasrol berkata, syor itu dapat mengimbangi tuntutan sosial membabitkan masyarakat Melayu dalam aktiviti ekonomi yang sama.

“Namun begitu, sekiranya kawasan tanah yang diceroboh tersebut merupakan kawasan Rizab Hutan Simpan Kekal atau Kawasan Rizab Orang Asli, maka tiada pilihan lain melainkan tanah tersebut terpaksa dirampas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button