Artikel KhasBerita Utama

Politik baharu, ‘bebaskan’ diri dari kerangka pemikiran terjajah

Ledakan teknologi dedahkan generasi muda budaya liberalisme politik, sekularisme Barat

1. NEGARA Malaysia yang kita warisi hari ini dari generasi terdahulu adalah sebuah negara berdaulat dengan sejarah, identiti dan Perlembagaan yang tersendiri

2. Apa pun masalah dan kepincangan yang berlaku harus kita perbaiki dalam kapasiti dan kemampuan masing-masing berdasarkan kuasa, posisi dan medan pengaruh yang dimiliki

3. Kita boleh terus menangisi hakikat bahawa negara kita belum merdeka sepenuhnya dari segi identiti, diperintah oleh proksi penjajah (golongan yang berkiblatkan Barat), gagal membentuk integrasi dan perpaduan kaum serta ancaman terhadap Islam, Melayu dan institusi Raja yang semakin merisaukan

4. Namun menangis dan ‘menyalak bukit’ sudah tiada ertinya. Kita perlu bertindak melakukan perubahan

5. Kita tidak boleh kembali ke belakang dan mengubah sejarah. Satu-satunya cara untuk berubah ialah bergerak ke hadapan dengan cara dan pendekatan baharu

6. Cara dan pendekatan politik baharu ini sudah pasti tidak boleh dilakukan dengan kerangka pemikiran, sistem, pemain dan undang-undang politik lama. Kita perlu berubah!

7. Ya, kita perlu memerdekakan diri dan negara kita dari kerangka pemikiran lama yang terjajah, sistem lama yang merosakkan, pemain lama yang telah tamat tempoh sah serta undang-undang lama yang menjerat diri sendiri

8. Jika 12 juta (37.5 peratus) penduduk Malaysia yang terdiri daripada golongan belia mampu didedahkan dengan keprihatinan serta kemahiran politik, disemaikan dengan rasa sayangkan negara, dididik dengan sejarah dan identiti negara yang asal sudah pasti gelombang ini akan mampu membawa pembaharuan yang berimpak tinggi

9. Paling penting, semua elemen ini diikat dan dipasak dengan kefahaman Islam yang sahih. Kerana Islam agama yang mengajar kita mentauhidkan Allah SWT, sayangkan tanah air dan mentadbirnya dengan integriti berlandaskan syariatnya

10. Namun, cabaran kita bukannya sedikit. Hampir 3 juta belia yang layak mengundi masih belum berdaftar dan majoriti mereka ialah belia Islam berbangsa Melayu. Itu belum dikira kebarangkalian jika usia mengundi diturunkan kepada 18 tahun. Adakah generasi remaja kita sudah bersedia?

11. Begitu juga ledakan teknologi dan dunia digital yang samada kita sedar atau tidak telah mendedahkan generasi muda kita kepada budaya liberalisme politik dan sekularisme Barat dalam kehidupan beragama tanpa perlu mereka mengembara ke sana

12. Cabaran mendidik generasi muda negara akan sejarah masa lampau, realiti geopolitik masa kini serta cabaran masa hadapan hanya mampu dilakukan jika kita mempunyai agenda perjuangan yang jelas, kesungguhan dan pengorbanan serta bergerak sebagai sebuah gerakan yang tersusun

13. Semoga Allah SWT memandu usaha kita dan memberikan jalan keluar terbaik yang tidak kita sangka, hasil usaha maksimum dan ketaqwaan yang tidak berbelah bahagi

Ir. Ts. Lukman Al Hakim Muhammad
Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button