Tiga roket serang Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad
Sentimen anti-AS meningkat di Iraq sejak pembunuhan Qassem Soleimani
BAGHDAD, 19 Muharram 1442H, Isnin – Tiga roket Katyusha menyerang kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad, tetapi tidak menyebabkan korban nyawa.
Salah satu roket mendarat di garaj lapangan terbang pada hari Ahad malam, merosakkan empat kenderaan awam, kata laporan agensi berita negara (INA) Iraq, yang memetik kenyataan tentera.
Minggu lalu, dalam tiga insiden berasingan beberapa roket mendarat sama ada berhampiran lapangan terbang atau kawasan Zon Hijau di Baghdad, yang menempatkan bangunan kerajaan dan misi asing.
Serangan berkenaan juga tidak menyebabkan korban jiwa.
Bulan lalu, sekurang-kurangnya empat roket Katyusha dilancarkan ke kedutaan Amerika Syarikat (AS) – salah satunya di kawasan tentera Amerika menempatkan misi diplomatik.
Juga pada 5 Julai, seorang kanak-kanak cedera dalam kejadian sama apabila roket dilancarkan ke kawasan rumah berhampiran Zon Hijau, yang menempatkan bangunan kerajaan dan misi asing.
Terdapat sentimen anti-AS yang meningkat di Iraq sejak 3 Januari.
Dalam kejadian itu, Komander tertinggi pasukan elit Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Qasem Soleimani, Timbalan ketua Hashed al-Shaabi atau Unit Mobilisasi Popular (PMU), Abu Mahdi al-Muhandis, dan ketua Pasukan Quds terbunuh dalam serangan AS yang menyasarkan kereta mereka di jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad
Dua hari kemudian, penggubal undang-undang Iraq sebulat suara meluluskan rang undang-undang, menuntut penarikan semua pasukan tentera asing yang diketuai oleh Amerika Syarikat dari negara itu. – Agensi