Berita Utama

100 kes positif COVID-19 hari ini

85 kes merupakan penularan dalam negara libat 55 warganegara

PUTRAJAYA, 20 Muharram 1442H, Selasa – Kes baharu COVID-19 meningkat kepada tiga angka hari ini, iaitu 100 kes berbanding 62 kes semalam menjadikan jumlah kes positif kumulatif di Malaysia sebanyak 9,559 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 100 kes baharu itu, 85 kes merupakan penularan dalam negara melibatkan 55 warganegara dan 30 bukan warganegara.

Ia melibatkan 26 kes di Sabah daripada kluster Benteng LD, 22 kes di Kedah melibatkan kluster Sungai di Kedah dan satu kes Perlis juga melibatkan kluster Sungai.

Lima belas kes lagi merupakan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara iaitu India, Indonesia, Pakistan dan Filipina, melibatkan dua warganegara dan 13 bukan warganegara.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 12 kes telah pulih hari ini manakala terdapat tujuh kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian direkodkan hari ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button