Berita UtamaDunia

19 pelombong disahkan terkorban akibat tanah runtuh

Kawasan kuari terkenal dengan marmar putih berkualiti tinggi

KASHMIR, 20 Muharram 1442H, Selasa – Sekurang-kurangnya 19 pelombong terbunuh dan puluhan lagi masih terperangkap setelah berlakunya tanah runtuh dan batu gelongsor di sebuah kuari marmar di barat laut Pakistan, kata para pegawai.

Batu besar dilaporkan jatuh ke atas para pelombong di daerah Mohmand, wilayah Khyber-Khyber, hari ini, kata Ketua Polis tempatan, Tariq Habib. 

Seorang pegawai kanan dari daerah Mohmand, Hamid Iqbal, mengesahkan jumlah kematian.

Sementara 20 orang yang cedera berjaya diselamatkan, kata Menteri Pembangunan Lombong dan Mineral Wilayah, Muhammad Arif kepada agensi berita AFP.

Sekurang-kurangnya 20 hingga 25 pekerja mungkin masih terperangkap, kata Ketua Pentadbiran Tempatan, Iftikhar Ahmed, di tengah-tengah ketakutan jumlah kematian bakal meningkat.

Kuari itu terletak di wilayah Ziarat Mohmand, di sepanjang perbatasan dengan Afghanistan.

Kawasan ini terkenal dengan marmar putih berkualiti tinggi, dijual di Pakistan dan dieksport ke negara lain.

Pekerja sering berehat di kaki gunung setelah waktu kerja yang panjang.

Pegawai mengatakan siasatan masih dijalankan untuk menentukan punca berlakunya kejadian tersebut.

Lombong Pakistan mempunyai reputasi kerana standard keselamatan yang buruk. Puluhan pelombong terbunuh setiap tahun dalam pelbagai kejadian berkaitan keselamatan.

Sekurang-kurangnya 43 pelombong terbunuh di daerah Sorange, Balochistan pada tahun 2011 akibat letupan di lombong arang batu.

Pada 2018, 16 pelombong terbunuh di lombong arang batu di Marwar, Balochistan, setelah letupan gas metana menyebabkan bumbung runtuh. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button