Berita Utama

2 pusat hiburan diarah tutup, 26 pengunjung dikompaun

Gagal patuhi SOP PKPP dalam operasi sekitar Butterworth

BUTTERWORTH, 20 Muharram 1442H, Selasa – Dua pusat hiburan diarah tutup seminggu manakala 26 pengunjung dikompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam operasi sekitar Butterworth, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam operasi bersepadu polis dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) itu, lima premis hiburan diperiksa.

“Dalam operasi empat jam bermula pukul 8 malam itu, KKM mengeluarkan dua notis penutupan ke atas dua premis pusat hiburan selama tujuh hari kerana tiada penjarakan fizikal, pekerja tidak memakai pelitup muka dan pelanggan gagal daftar masuk ke premis.

“Selain itu, KKM turut mengeluarkan notis amaran kepada pemilik sebuah pusat hiburan kerana pekerja gagal daftar masuk ke premis manakala polis mengeluarkan kompaun RM1,000 setiap seorang kepada 26 pengunjung yang tidak mematuhi SOP ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, MBSP turut mengeluarkan lima kompaun kerana kesalahan tidak patuh syarat perlesenan, tidak melakukan suntikan vaksin pekerja dan tiada kebenaran membuka pusat hiburan.

Beliau berkata pihaknya menasihatkan pengusaha dan pengunjung pusat hiburan agar mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button