Berita Utama

Berubahlah parti Melayu! Jika tidak rakyat akan hukum

Isu kebum haram buat rakyat fikir apa perjuangan parti Melayu

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 20 Muharram 1442H, Selasa – Jika parti politik Melayu tidak kembali kepada asas perjuangan membela agama dan bangsa, tidak mustahil rakyat bakal menghukum mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, apa yang berlaku di Raub serta beberapa isu lain seperti sekolah vernakular merupakan manifestasi secara zahir akan sikap serta kekuatan parti Melayu.

Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak memaklumkan, kerajaan negeri kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

Menurutnya, nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.

Katanya, durian yang dikeluarkan ladang haram jelas tidak memiliki pensijilan myGAP, melanggar peraturan dan menyalahi protokol pengeksportan sekali gus boleh menjejaskan industri durian negara selain memberi kesan kepada alam sekitar dan menjejaskan kelestarian alam khususnya hutan simpan dan sumber air.

Haji Aminuddin berkata, isu itu menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat tentang apa yang pimpinan parti Melayu perjuangkan.

“Kenapakah mereka begitu takut untuk bersuara seolah-olah sudah dikawal oleh parti MCA dan DAP?

“Rakyat memerhati gelagat mereka dan saya tidak menolak kemungkinan jika mereka tidak berubah maka rakyat akan menghukum mereka dalam PRU-15,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button