Berita Utama

Gangguan air: 39 lagi kawasan dalam proses pemulihan

Air Selangor sedang menstabilkan sistem agihan air

KUALA LUMPUR, 20 Muharram 1442H, Selasa – Sebanyak 39 kawasan di wilayah Klang/Shah Alam, Gombak, Petaling dan Kuala Lumpur masih dalam proses pemulihan akibat gangguan bekalan air setakat jam 6.30 petang ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata peratusan pemulihan air di Gombak adalah 99.27 peratus, Petaling (98.36 peratus), Klang/Shah Alam (85.31 peratus) manakala Kuala Lumpur 97.57 peratus.

“Secara keseluruhan 1,253 kawasan telah pulih sepenuhnya daripada 1,292 kawasan yang terlibat gangguan bekalan air tidak berjadual dengan peratusan pemulihan pada tahap 96.98 peratus.

“Semua kawasan Kumpulan 1 dalam pelan pemulihan telah pulih sepenuhnya manakala lapan kawasan yang berada di Kumpulan 2 pelan pemulihan masih belum mendapat bekalan air yang sepatutnya pada 12 tengah malam, 8 Sept,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Elina berkata Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan bekalan di kawasan terlibat.

Dalam pada itu, beliau berkata bekalan air di semua kawasan yang mengalami gangguan di Wilayah Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah pulih sepenuhnya hari ini.

Pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor, katanya.

Gangguan bekalan air sekitar Lembah Klang bermula 3 Sept lepas apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button