Berita UtamaDunia

Kesemua suspek pembunuhan Jamal Khashoggi dipenjara

Keputusan mahkamah Arab Saudi dikecam, dipanggil sandiwara

RIYADH, 20 Muharram 1442H, Selasa – Mahkamah Arab Saudi mengeluarkan keputusan akhir terhadap lapan suspek pembunuhan wartawan Washington Post, Jamal Khashoggi pada Oktober 2018, semalam.

Lima tertuduh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun, seorang dipenjara 10 tahun manakala dua lagi tujuh tahun, lapor Saudi Press Agency yang memetik seorang jurucakap pendakwa raya.

Tiada seorang pun defendan terbabit dinamakan dalam apa yang digambarkan sebagai penghakiman muktamad mahkamah atas kes pembunuhan itu.

Anak lelaki Khashoggi pada Mei lalu ‘memaafkan’ pembunuh terbabit sekali gus membuka laluan kepada hukuman lebih ringan.

Keputusan mahkamah itu bagaimanapun dikutuk sebagai ‘dalam parodi keadilan’ oleh seorang pakar undang-undang dari Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Agnes Callamard.

“Keputusan ini tidak sah daripada segi undang-undang atau moral. Ia dicapai pada akhir sebuah proses yang tidak adil, saksama mahupun telus.

“Lima lelaki dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun, tetapi pegawai tinggi yang mengatur dan menyokong pelaksanaan (pembunuhan Khashoggi) berjalan bebas dari awal – hampir tidak disentuh oleh siasatan dan perbicaraan,” katanya melalui Twitter, pada Isnin.

Sementara itu, tunang mangsa yang berasal dari Turki, Hatice Cengiz menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai sandiwara.

“Penghakiman di Arab Saudi hari ini (semalam), sekali lagi adalah penghinaan sepenuhnya terhadap keadilan.

“Masyarakat antarabangsa tidak akan menerima sandiwara ini. Pihak berkuasa Arab Saudi menutup kes itu tanpa dunia mengetahui kebenaran siapa yang bertanggungjawab atas pembunuhan Jamal. Siapa yang merancang, siapa yang mengarahkan, di mana mayatnya? Ini adalah persoalan penting yang masih belum terjawab,” katanya.

Khashoggi, seorang kolumnis untuk The Washington Post, dibunuh oleh sekumpulan komplot Arab Saudi sejurus beliau memasuki konsulat negara itu di Istanbul pada 2 Oktober 2018. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button