Berita Utama

Komersialkan Tanah Rizab Melayu demi manfaat bangsa

Tukarkan status sebahagian tanah kerajaan negeri kepada Tanah Rizab Melayu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 20 Muharram 1442H, Selasa – Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff bersetuju dengan cadangan membenarkan Tanah Rizab Melayu menjalani aktiviti komersial supaya dapat memberi manfaat kepada orang Melayu.

Malah, Prof Ahmad Razman berharap Tanah Rizab Melayu akan ditambah lagi peratusan keluasannya kembali ke asal seperti di awal zaman kemerdekaan. 

Mengesyorkan perkara itu, beliau berkata, mungkin sebahagian tanah kerajaan negeri boleh ditukar status kepada Tanah Rizab Melayu dan pemilikannya diberi bukan kepada individu, tetapi koperasi Melayu. 

Sehubungan itu, katanya, kerajaan terutamanya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) harus menggalakkan penubuhan lebih banyak koperasi Melayu untuk memainkan peranan membangunkan tanah rizab berkenaan, demi meningkatkan taraf ekonomi ahli koperasi yang terdiri daripada orang Melayu.

“Setiap kawasan Tanah Rizab Melayu mesti ada sekurang-kurangnya satu koperasi Melayu yang menguruskannya, dan semua koperasi ini boleh mendapatkan bantuan dana dari Perbadanan Pembangunan Tanah Rizab Melayu. 

“Selain itu, koperasi Melayu ini harus ditadbir oleh golongan profesional Melayu supaya tadbir urusnya dijamin dan tiada berlaku salah laku dan kes individu mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan, Putra Business School (PBS) itu berkata, dengan memberi peluang kepada koperasi Melayu untuk menguruskan Tanah Rizab Melayu, perniagaan akan sentiasa ada kesinambungannya selagi koperasi itu wujud. 

“Jika pemilik Tanah Rizab Melayu adalah individu, apabila pemiliknya meninggal atau tidak mampu menguruskannya, Tanah Rizab Melayu tersebut akan terbiar kosong. 

“Apabila koperasi Melayu yang menguruskannya, semua ahli Melayunya akan mendapat manfaat,” katanya.

Terdahulu, Pengkaji Sejarah Ikatan Arkeologi Malaysia, Zaharah Sulaiman mencadangkan supaya Tanah Rizab Melayu ditukar status kepada komersial untuk dijana keuntungan, sama ada melalui penjualan atau penyewaan.

Selain itu, beliau turut mengusulkan kepada pihak kerajaan supaya satu Perbadanan Pembangunan Tanah Rizab Melayu ditubuhkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close