Modul cegah pelajar agama terjebak fahaman liberal diperkenal
JHEAT dalam proses rangka kurikulum berkaitan kepimpinan pelajar
BANGI, 20 Muharram 1442H, Selasa – Terengganu bakal memperkenalkan satu modul baharu bagi mencegah pelajar sekolah agama terjebak dalam fahaman liberal dan masalah sosial lain yang disebarkan menerusi internet.
Modul Kepemimpinan Pelajar itu akan diperkenalkan di 10 buah sekolah menengah agama (SMA) yang dikendalikan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
Pesuruhjayanya, Mat Azmi Arshad berkata, Bahagian Pendidikan JHEAT kini dalam proses merangka kurikulum baharu berkaitan kepimpinan pelajar untuk diaplikasikan di semua SMA negeri itu.
“Ini adalah antara pendekatan diambil di mana kita meminta Bahagian Pendidikan JHEAT mewujudkan kurikulum baharu dari segi kepimpinan agar pelajar terhindar daripada gejala tidak sihat.
“Sejak dahulu lagi sekolah agama di Terengganu menjadi contoh dari segi kepimpinan pelajar misalnya di SMA Sultan Zainal Abidin, jadi saya berharap kurikulum baharu itu dapat diperkenalkan sekali gus melahirkan golongan pelajar yang cemerlang,” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.