Orang politik jangan angkuh, ingat siapa bersama waktu sukar!
Bila kedudukan makin stabil, suara NGO ingin disenyapkan?
BANGI, 20 Muharram 1442H, Selasa – Pemimpin politik diingatkan jangan terlalu angkuh dan melupakan jasa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika mereka menjadi pembangkang suatu ketika dahulu.
Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Omar Kassim mengingatkan perkara itu susulan terdapat komen netizen yang secara sindiran memandang rendah peranan NGO.
Terdahulu, netizen berkenaan yang tidak didedahkan nama meminta Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) tidak merasa ‘besar’ menegur parti politik kerana katanya mereka boleh menjadi kerajaan.
“Suka hati diaorang la nak buat apa. Korang tau bersyukur la sikit…makan minum kerajaan yang tanggung. Tak payah la nak tegur-tegur ni. Korang NGO je… apa tau pasal politik,” tulisnya.
Tidak menamakan mana-mana pihak, Haji Omar mempersoalkan sama ada suara NGO perlu disenyapkan selepas ahli politik semakin stabil.
“Orang politik jangan terlalu angkuh. Ketika sukar dahulu, mereka datang berjumpa NGO, bila semakin stabil, suara NGO ingin disenyapkankah?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.