Berita Utama

SPRM siasat isu pencemaran Sungai Gong

Teliti unsur rasuah libat pihak termasuk agensi penguat kuasa

KUALA LUMPUR, 20 Muharram 1442H, Selasa – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berhubung isu pencemaran Sungai Gong di Rawang.

SPRM dalam kenyataan berkata ia adalah bagi meneliti unsur-unsur rasuah melibatkan mana-mana pihak termasuk agensi penguat kuasa.

“SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan isu itu untuk tampil memberi kerjasama dengan suruhanjaya ini,” menurutnya.

Semalam, Bernama melaporkan kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air sungai berkenaan didapati beroperasi tanpa lesen sejak 2014.

Kira-kira lima juta penduduk Lembah Klang dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Khamis lepas ekoran pencemaran minyak yang didakwa dilepaskan daripada kilang terbabit sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Dalam perkembangan lain, menurut kenyataan itu, SPRM Pahang telah memulakan siasatan berkaitan isu pencerobohan tanah kerajaan negeri yang dijadikan ladang durian secara haram di Raub.

“SPRM sedang mengumpul maklumat dan meneliti beberapa dokumen berkaitan daripada pihak terlibat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pencerobohan tanah di Raub itu untuk melaporkan terus kepada pejabat SPRM berdekatan.

“SPRM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan rasuah atau salah guna kuasa dalam isu itu,” menurut kenyataan itu.

Pada 2 Sept, Bernama melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki mengarahkan SPRM Pahang untuk mendapatkan maklumat lanjut dari Pejabat Daerah dan Tanah Raub serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang berhubung perkara itu.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi mengetahui kedudukan sebenar mengenai perkara yang berlaku melibatkan peneroka di kawasan itu sebelum SPRM membuat sebarang keputusan lanjut berhubung perkara itu.

Pada 1 Ogos, kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di tanah kerajaan negeri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button