Berita Utama

Tiada unsur jenayah, penderaan kes kematian prebet: TDM

Keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat dijalankan doktor pakar

KUALA LUMPUR, 20 Muharram 1442H, Selasa – Tiada kecederaan fizikal lain yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan penderaan terhadap anggota badan Allahyarham Prebet Abdul Aziz Aznam yang disyaki terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman sebuah kem tentera di Johor, pada 28 Ogos lepas.

Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat dijalankan doktor pakar dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, pada 7 Sept lepas.

“Anggota berkenaan didapati jatuh dari aras tiga bangunan bilik penginapan kem di sana, dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Allahyarham kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan.

“Bedah siasat dijalankan sehari selepas Allahyarham disahkan meninggal dunia pada 6 Sept lepas, dan mendapati tiada kecederaan fizikal lain dalam badan jenazah yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan penderaan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan susulan keputusan diperoleh, Pakar Forensik Bedah Siasat dan Polis Diraja Malaysia telah melawat lokasi kejadian bagi mengesahkan laporan bedah siasat konsisten dengan situasi tempat kejadian.

Menurut kenyataan itu, Allahyarham dikatakan melapor diri di Balai Pengawal Pasukan Batalion Kesepuluh Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD) daripada Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC) pada 28 Ogos lepas

“Allahyarham diletakkan dalam Tangkapan Longgar di Bilik Bujang Kompeni A sementara menunggu dokumentasi selain dibacakan pertuduhan oleh Pegawai Memerintah,” katanya.

TDM dalam pada itu memaklumkan pihaknya terbuka dalam memberikan kerjasama serta bantuan kepada pihak PDRM bagi membantu siasatan.

“TDM serah sepenuhnya kepada pihak berkuasa PDRM, dan pada masa sama tidak berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota jika terlibat dengan sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang.” katanya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan seorang anggota tentera meninggal dunia selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman di sebuah kem tentera di Batu Pahat, Johor pada 28 Ogos lepas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button