Berita Utama

Tuduh Melayu rasis, polis didesak siasat Haridas Kolandavellu

'Sikap awak boleh timbulkan pergaduhan kaum, melagakan rakyat'

BANGI, 12 Rabiulawal 1442H, Khamis – Pihak berwajib perlu menyiasat serta bertindak terhadap seorang lelaki India yang didakwa memuat naik video berbaur hasutan serta penghinaan terhadap orang Melayu dan agama Islam.

Dikenali sebagai Haridas Kolandavellu, suspek telah memuat naik rakaman bertajuk ‘Cara Menghapus Ego Melayu Yang Rasis’ yang menyentuh isu Perlembagaan Persekutuan; raja-raja Melayu; kesamarataan dan hak istimewa Bumiputera.

Sehubungan itu, Pertubuhan Pembela-Pembela Islam Malaysia (PEMBELA) mendesak, Haridas didakwa di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau mana-mana yang difikirkan perlu.

Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masrizi Sat menegaskan, kenyataan beliau boleh menimbulkan kekeliruan, gangguan terhadap perpaduan kaum serta memberi ancaman kepada kepentingan Islam, orang Melayu, raja-raja Melayu dan Perlembagaan.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia, Haridas sepatutnya menghormati sejarah negara ini seperti mana pernah dituruti nenek moyang beliau pada masa dahulu.

“Negara tidak akan tenteram selagi manusia seperti Haridas ini ada di Malaysia. Wajah sahaja duduk di Malaysia tetapi hati seperti duduk di negara barat

“… Sikap awak ini boleh menimbulkan pergaduhan kaum, melaga-lagakan kami dari Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak serta bermacam-macam lagi. Perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, hari ini.

Sementara di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pula, seorang lagi Naib Pengerusi PEMBELA, Mohd Nor Izzat Mohd Johari menggesa, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius tindakan segelintir pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Beliau yang mesra dipanggil Cikgu Izzat berkata, tingkah laku biadab yang dipamerkan oleh sesetengah pihak bagaikan sudah menjadi satu trend.

“Ini yang pelik sekarang ini. Saya ada kawan Cina dan India tetapi mereka pun pelik kenapa ada lagi golongan ‘beruk’ ini yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah mereka bukan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau juga tidak ragu-ragu untuk mendesak Jabatan Imigresen dan KDN menyemak semula kerakyatan pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, sekali gus boleh memecahbelahkan rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button