Berita UtamaIstimewa

‘Bila peniaga kecil, cepat pula dirobohkan’

Tidak kira siapa kerajaan dan negeri, seperti ada tangan-tangan di belakang

BANGI, 21 Muharram 1442H, Rabu – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kesal seolah-olah tiada tindakan tegas diambil terhadap kilang yang disyaki punca pencemaran Sungai Gong di Rawang baru-baru ini, berikutan telah beroperasi secara haram sejak enam tahun lalu.

Naib Presidennya, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, kilang terbabit yang enggan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan ketika pemantauan dipercayai beroperasi sejak 2014 dan termasuk dalam senarai pemutihan kilang haram.

“Sebaliknya buat peniaga-peniaga kecil, cepat pula dirobohkannya.

“Tidak kira siapa juga kerajaan dan di negeri mana sekali pun, kelihatan biasa ada tangan-tangan di belakang,” katanya menerusi status di Facebook, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mendakwa, pengusaha kilang penyelenggaraan jentera yang disyaki menyebabkan pencemaran Sungai Gong tidak memberikan kerjasama sewaktu pemantauan dijalankan penguat kuasa.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, kilang itu sudah dikompaun pada Mac kerana beroperasi tanpa lesen dan sehingga kini belum melakukan sebarang permohonan,

Katanya, premis terbabit dipercayai sudah beroperasi sejak 2014 lalu dan termasuk dalam senarai pemutihan kilang haram.

“Berdasarkan data oleh MPS, pengurusan kilang berkenaan tidak pernah membuat apa-apa permohonan lesen sejak 2014.

“Pihak MPS juga sudah dua kali menyarankan kepada kilang terbabit untuk membuat permohonan lesen selepas dikesan beroperasi sejak enam tahun lalu.

“Selain beroperasi tanpa kebenaran, kilang yang dipercayai sering menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan lain ini turut membina struktur bangunan dalam kawasan premis mereka tanpa kebenaran bertulis dari MPS,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close