Berita Utama

Nahas pesawat: 10 pakar penerbangan AS berada di lokasi bantu siasat punca

Operasi membawa keluar bangkai pesawat akan selesai hari ini

SHAH ALAM, 4 Safar 1445H, Isnin – Seramai 10 pakar penerbangan dari Amerika Syarikat (AS) berada di lokasi nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Elmina, di sini hari ini bagi menjalankan siasatan punca nahas pesawat itu. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kesemua mereka dijangka berada di negara ini selama tujuh hingga 10 hari bagi menyiasat punca nahas itu. 

“Kesemua mereka tiba di negara ini semalam dan pagi ini sudah memulakan siasatan. 

“Kita menjangkakan operasi membawa keluar bangkai pesawat akan selesai hari ini dan sekiranya tidak sempat, kita akan terus menempatkan anggota untuk memantau keadaan di lokasi kejadian kerana tidak mahu ada aktiviti yang di luar jangkaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan di lokasi kejadian bersama pegawai penyiasat Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kol Muhammad Abdullah.  

Mohd Iqbal berkata, lapan pegawai BSKU turut terlibat dalam penyiasatan nahas pesawat yang mengorbankan 10 individu itu.

Tinjauan Bernama mendapati kerja-kerja membawa keluar bangkai pesawat sedang dijalankan dan sebuah lori digunakan untuk membawa bangkai pesawat ke hangar di Subang untuk siasatan selanjutnya. 

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan memaklumkan laporan awal siasatan nahas pesawat yang mengorbankan 10 individu akan disediakan dalam masa 30 hari daripada tarikh kemalangan udara itu berlaku.

Siasatan teknikal berdasarkan Annex 13 – Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13), telah pun dimulakan pasukan BSKU bermula pada tarikh kejadian itu.

Khamis lepas, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina mengorbankan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang melalui kawasan berkenaan ketika kejadian.

Ketika insiden, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button