Berita Utama

Lelaki maut dijangkiti wabak rabies

Anjing peliharaan mangsa belum dapat vaksin anti-rabies

KUALA LUMPUR, 21 Muharram 1442H, Rabu  – Seorang lelaki berusia 51 tahun dari Kuching, Sarawak, meninggal dunia semalam akibat dijangkiti wabak rabies, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, dengan pengesahan kes rabies terbaharu itu menjadikan jumlah kes bagi tahun ini adalah tiga dengan kesemuanya meninggal dunia.

Beliau berkata, jumlah kes bagi keseluruhan wabak rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 1 Julai 2017 sehingga kini adalah 25 kes, termasuk membabitkan 24 kematian.

“Beliau (mangsa) disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 4 Sept lalu.

“Mangsa dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 26 Ogos kerana mengalami sakit belakang menyebabkan kesukaran untuk bergerak selama tiga hari sebelum dimasukkan ke wad,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, mangsa mengalami muntah dan serangan sawan sebelum dimasukkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia semalam pada 6.29 petang dengan didiagnos mempunyai rabies encephalitis.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan siasatan awal belum dapat mengesahkan sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku pada mangsa.

“Namun, mangsa ada memelihara seekor kucing dan seekor anjing. Anjing peliharaannya ini belum mendapat vaksin anti-rabies tetapi tidak dilepaskan dari kawasan rumah,” katanya.

Beliau berkata, sehingga hari ini, status kedua-dua haiwan itu adalah baik dan tiada perubahan tingkah laku.

Katanya, memandangkan Sarawak belum bebas daripada wabak rabies, KKM menasihati orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada dijangkiti penyakit berkenaan.

Orang ramai perlu mencuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit, bagi menghilangkan kesan air liur dan mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit tanpa sebab oleh haiwan peliharaan atau digigit oleh anjing liar.

“Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat. Elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar sebelum dan selepas menerima suntikan vaksin, tidak mengambil atau memungut anjing atau haiwan lain yang tidak diketahui status suntikan vaksin rabies.

“Sentiasa elakkan diri daripada digigit oleh anjing atau haiwan liar. Jika anjing atau kucing peliharaan berubah tingkah laku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berhampiran,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menyarankan orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal mereka dan sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi terutama selepas menyentuh haiwan peliharaan. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button