Berita UtamaDunia

Maghribi kenakan perintah berkurung di Casablanca

Institut pendidikan ditutup, premis beroperasi ikut tempoh dibenarkan

RABAT, 21 Muharram 1442H, Rabu – Pemerintah Maghribi menguatkuasakan perintah berkurung di Casablanca sebagai salah satu langkah membendung penularan jangkitan COVID-19.

Dalam satu kenyataan rasmi, pihak berkuasa berkata, sekatan akan dilakukan termasuk penutupan pelabuhan buruh, selain pergerakan keluar masuk penduduk perlu mendapat keizinan pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, semua institusi pendidikan bermula dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat universiti akan ditutup.

Sementara itu, sesi pembelajaran jarak jauh dan dalam talian akan disediakan oleh setiap institusi.

Waktu operasi premis perniagaan juga akan dihadkan, di mana pasar raya akan dibenarkan dibuka sehingga jam 3 petang manakala pembukaan kedai yang menjual lain-lain peralatan dan keperluan dihadkan sehingga jam 8 malam.

Pada masa sama, restoran dibenarkan beroperasi hanya sehingga jam 9 malam mengikut langkah-langkah pencegahan.

Ahad lalu, Maghribi mengumumkan sebanyak 2,234 kes baharu COVID-19 dengan 32 kematian.

Daripada 72,394 jumlah keseluruhan yang dijangkiti, 55,274 dilaporkan pulih manakala 1,361 orang direkodkan meninggal dunia, menurut Kementerian Kesihatan.

Casablanca adalah kawasan paling teruk dijangkiti COVID-19 di negara berkenaan dengan 948 jangkitan baharu dan 12 kematian pada Ahad -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button