PDRM cadang cemar alam sekitar disiasat ikut Akta SOSMA: KPN
Kesalahan berkenaan dikategori berat serta berulang

KUALA LUMPUR, 21 Muharram 1442H, Rabu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengusulkan kepada Jabatan Peguam Negara supaya kesalahan pencemaran alam sekitar dikategorikan sebagai jenayah terancang dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, cadangan berkenaan bukan membabitkan kes pencemaran Sungai Gong, Rawang, sahaja tetapi semua kes membabitkan pencemaran alam sekitar pada masa akan datang.
“Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) telah bertitah dan baginda melihat isu berkenaan begitu serius sehingga mengancam kesihatan ramai orang,” katanya dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas jawatan empat pengarah jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Maktab PDRM Cheras, di sini, hari ini.
Abdul Hamid berkata, kesalahan itu adalah jenayah berat serta berulang dan PDRM telah meneliti undang-undang yang terbaik untuk dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah.
“Oleh itu, saya meminta orang ramai agar bertenang dan sabar kerana pihak polis sedang menjalankan siasatan kes ini. Siasatan dijalankan secara telus dan PDRM tidak mempunyai kepentingan untuk tutup kes ini atau mengurangkan darjah kesalahan ini,” katanya.
Mengulas mengenai isu penubuhan pasukan khas siasat jenayah pencemaran alam sekitar, Abdul Hamid berkata, perkara itu akan diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membuat keputusan.
“Tiada masalah, kami sanggup menerima tangggungjawab ini dan yakin mampu untuk membantu Kementerian Alam Sekitar dengan penubuhan pasukan khas berkenaan, namun ia akan melibatkan pertambahan jawatan dalam PDRM,” katanya.
Abdul Hamid berkata, PDRM telah memberikan pelbagai komitmen termasuk menangani isu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), selain menjalankan tugas mengekang penyeludupan besar-besaran dengan bantuan ribuan warga PDRM.
“Beban tugas itu akan bertambah, saya menjangkakan sekiranya cadangan Menteri Alam Sekitar dan Air (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) itu diluluskan KDN, maka saya memohon pertambahan perjawatan PDRM,” katanya.
Semalam, dilaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah memulakan siasatan bagi meneliti unsur-unsur rasuah melibatkan mana-mana pihak termasuk agensi penguat kuasa.
Kira-kira lima juta penduduk Lembah Klang dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Khamis lepas ekoran pencemaran minyak yang didakwa dilepaskan daripada kilang terbabit sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas. -Bernama