Berita UtamaIstimewa

Penceroboh berani langgar undang-undang kerana disokong MCA, DAP?

Tidak adil! Kaut segala keuntungan secara haram tanpa bayar sebarang cukai

BANGI, 21 Muharram 1442H, Rabu – Tanah milik kerajaan Pahang di Raub yang diceroboh secara haram seharusnya diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu atau tanah wakaf.

Saranan itu dilihat wajar bagi memastikan tanah berkenaan dapat dipelihara atau dibangunkan semula untuk dinikmati oleh mereka yang berhak mengikut lunas undang-undang, kata pemerhati politik, Ustaz Ibrahim Hassan al-Hafiz.

Beliau menyifatkan tindakan penceroboh mengaut segala keuntungan secara haram tanpa membayar sebarang cukai adalah tidak adil kepada kerajaan negeri yang kerugian hasil pendapatan dan seluruh rakyat Malaysia yang membayar cukai setiap tahun.

“Kes pencerobohan tanah secara haram adalah sesuatu yang serius kerana melanggar akta dan undang-undang memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang.

“Mereka yang bertindak melanggar undang-undang dengan sengaja adalah penjenayah dan jika melawan pihak berkuasa adalah samseng.

“Adakah penceroboh ini berani melanggar undang-undang kerana mendapat sokongan daripada parti politik Cina MCA dan DAP?

“Adakah MCA dan DAP menyokong pelanggaran undang-undang dan melindungi samseng secara terbuka?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perjumpaan Naib Presiden MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker bersama-sama Exco kerajaan negeri, Datuk Abd Aziz Mat Kiram yang difahamkan cuba mencari jalan penyelesaian berhubung isu penceroboh tanah kerajaan negeri Pahang.

Terdahulu, Lian Ker berkata, sementara ada pihak cuba mengeksploitasi dan memomokkan peneroka-peneroka dengan memutar belitkan isu di luar perspektif semata-mata atas naratif perkauman, pihaknya bersama-sama exco tempatan cuba mencari penyelesaian dengan memberi pertimbangan kepada sosioekonomi.

“… dan perundangan melalui perspektif yang sihat, secara hemah dan positif. Syabas kepada permuafakatan!,” katanya.

Mengulas lanjut, Ustaz Ibrahim berkata, MCA dan DAP seharusnya membantu kerajaan dengan memastikan setiap warganegara menjadi rakyat yang beradab dengan mematuhi undang-undang demi menjaga keharmonian negara dan bukan sebaliknya.

“Jika MCA dan DAP ikhlas mahu membantu penceroboh haram tersebut, mereka sepatutnya menawarkan alternatif peluang pekerjaan yang lain dan bukan memberikan harapan palsu dengan menentang undang-undang dan pihak berkuasa,” tegasnya.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan dan kawasan hutan simpan.

Tindakan itu dilakukan, berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram dan kawasan hutan simpan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close