Berita UtamaDunia

Tak sensitif isu Uyghur, filem Mulan diboikot

Ada adegan papar lokasi penggambaran di Xinjiang

HONG KONG, 21 Muharram 1442H, Rabu – Kemunculan filem yang diadaptasi dari kartun animasi terkenal Disney, Mulan mendapat tentangan hebat daripada masyarakat dunia apabila mula diboikot.

Difahamkan, terdapat beberapa adegan filem itu yang memaparkan lokasi penggambaran di Xinjiang, China – di mana wilayah terletaknya kem tahanan etnik minoriti muslim Uyghur ditindas.

Filem yang menelan belanja sebanyak AS$200 juta itu mengisahkan seorang pejuang lagenda wanita China – turut memberi kesan kepada bintangnya, Liu Yifei yang menyuarakan sokongannya kepada polis Hong Kong ketika meleraikan protes demokrasi pada tahun lalu.

Bukan itu sahaja, filem yang mula ditayangkan di saluran Disney minggu lalu itu turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada lapan pemerintah di Xinjiang, termasuk biro keselamatan awam di Turpan – sebuah bandar di Timur Xinjiang yang menempatkan kebanyakan kem tahanan.

Penghargaan terima kasih juga ditujukan kepada jabatan propaganda Parti Komunis China di Xinjiang.

Tindakan berkenaan telah menaikkan amarah penonton yang turut mengganggap Hollywood bersedia untuk tunduk kepada China.

Kumpulan hak asasi, ahli akademik dan pengamal media sebelum ini telah mendedahkan betapa zalimnya rejim China melakukan penindasan ke atas umat Islam Uyghur dan Kazakh di Xinjiang, termasuk pengguguran janin secara paksa, menjadikan mereka sebagai buruh paksa, sekatan pergerakan dan agama, serta tangkapan tanpa sebab.

Sementara itu, seorang seniman Cina, Badiucao yang tidak bersetuju dengan penerbitan filem berkenaan berkata, beliau kini sedang menghasilkan kartun terbaharu, yang menggambarkan watak Mulan sebagai pengawal di salah sebuah kem tahanan di Xinjiang.

Beliau berkata, penghasilan kartun itu bertujuan menyindir filem baharu Disney.

“Ini sangat bermasalah dan tidak ada sebab. Maksud saya, sudah jelas kita mempunyai semua bukti yang menunjukkan apa yang sedang terjadi di Xinjiang,” katanya.

Pada masa sama, Baduicao turut mendakwa Disney sebagai berat sebelah apabila menyokong gerakan keadilan sosial barat seperti MeToo dan Black Lives Matter, sambil menutup mata terhadap kekejaman rejim China.

Beberapa minggu kebelakangan ini, penduduk Hong Kong, Thailand dan Taiwan mengadakan trend terbaharu, iaitu hashtag #BoycottMulan di media sosial.

Para aktivis di ketiga-tiga tempat telah melancarkan pelbagai kempen dalam talian bagi mengutuk rejim China. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close