Berita UtamaDunia

Angkara perang, 8 juta kanak-kanak di Yaman tak bersekolah

Sekolah ditutup akibat COVID-19 turut jejas proses pembelajaran

DUBAI, 22 Muharram 1442H, Khamis – Sebanyak lapan juta kanak-kanak di Yaman kini tidak bersekolah atas alasan perang dan pandemik COVID-19, dedah Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

UNICEF memaklumkan perkara itu menerusi ciapan di Twitter bersama-sama video pada awal minggu ini bagi menandakan Hari Celik Huruf Antarabangsa 2020.

Agensi itu berkata, sebelum COVID-19 melanda Yaman, lebih daripada dua juta kanak-kanak tidak bersekolah.

“Sekarang, kerana penutupan sekolah di seluruh negara, tambahan 5.8 juta kanak-kanak tidak mendapat pendidikan. Semakin lama mereka jauh dari sekolah, semakin banyak risiko yang mereka hadapi dan kurang kemungkinan mereka akan kembali,” katanya.

Laporan UNICEF pada Jun menjelaskan bahawa kebanyakan guru sekolah awam tidak dibayar gaji lebih daripada tiga tahun.

“Sekurang-kurangnya 2,000 sekolah – satu daripada lapan secara keseluruhan – tidak sesuai digunakan kerana konflik sama ada musnah, digunakan untuk tujuan ketenteraan atau diambil alih sebagai tempat perlindungan,” katanya.

UNICEF berkata, sejak tercetusnya COVID-19, sebanyak 55 buah sekolah dijadikan pusat untuk mengasingkan pesakit coronavirus yang berpotensi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button