Berita Utama

Beri hak lebih inklusif dalam ekonomi kepada Bumiputera

Wakili 70 peratus penduduk, Bumiputera patut lebih aktif dalam ekonomi

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 22 Muharram 1442H, Khamis – Prinsip keterangkuman atau inklusif berasaskan pegangan setiap individu mempunyai hak yang sama untuk merasai nikmat, dilihat sebagai strategi terbaik dalam membangunkan ekonomi Bumiputera pada masa hadapan.

Pengalisis ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, sekiranya setiap rakyat mendapat perhatian yang adil, ini bermakna kaum Bumiputera yang merangkumi 70 peratus penduduk sewajarnya memperoleh peratusan sama daripada pembangunan ekonomi.

Beliau mengingatkan supaya pembangunan ekonomi Bumiputera tidak hanya diukur berdasarkan kepada kedudukan pemilikan ekuiti sahaja, kerana ia boleh menjadi satu pegangan yang pasif.

Baginya, jumlah ekuiti Bumiputera – ketika ini berada pada tahap 16 peratus – bukan satu angka yang penting memandangkan ia satu peratusan yang membayangkan pemilikan kaum Bumiputera.

“Kaum Bumiputera di Malaysia didefinisikan bukan sahaja individu tetapi juga institusi yang mewakili Bumiputera.

“Sebenarnya (pemilikan ekuiti Bumiputera) hanyalah satu simbol kejayaan. Tetapi dari segi realitinya yang penting adakah kaum Bumiputera terlibat sama dalam perniagaan dan aktiviti ekonomi.

“Membayangkan perwakilannya, misalnya kaum Bumiputera di Malaysia ini melebihi 70 peratus daripada penduduk, sepatutnya mereka terlibat sebanyak 70 peratus di dalam aktiviti ekonomi barulah itu dipanggil inklusif atau keterangkuman,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Prof Barjoyai berpendapat, prinsip keterangkuman seharusnya ditonjolkan dalam pemilikan kaum Bumiputera.

Katanya, pemilikan 30 peratus itu bukan matlamat yang unggul kerana kaum Bumiputera di Malaysia meliputi 70 peratus penduduk.

“Kenapa kita mensasarkan pemilikan 30 peratus sahaja? Justeru, saya rasa kita perlu menonjolkan prinsip keterangkuman dan cuba memastikan yang kaum Bumiputera diwakili dalam setiap aktiviti ekonomi,” saran beliau.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa kedudukan pemilikan ekuiti Bumiputera ketika ini berada pada tahap 16 peratus, jumlah yang semakin merosot.

Menyifatkan peratusan yang dicatatkan itu adalah sesuatu yang membimbangkan, beliau katanya, apa yang penting ketika ini adalah usaha yang mahu dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan jumlah pemilikan berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button