Berita Utama

Budaya ‘warlord’ masih kuasai dunia politik Melayu

Di manakah masa depan agama, bangsa, negara kita kelak?

BANGI, 22 Muharram 1442H, Khamis – Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke disebut-sebut calon yang bakal menggantikan Lim Guan Eng sebagai Setiausha Agung pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, sebagaimana kebanyakan parti komunis dan sosialis di seluruh dunia, Setiausaha Agung adalah posisi yang paling berkuasa dalam parti.

“Lim Guan Eng yang berumur 60 tahun telah pun memegang jawatan ini selama tiga penggal dan mencapai tempoh maksimum menurut perlembagaan parti.

“Anthony Loke yang merupakan Setiausaha Organisasi DAP baru sahaja berumur 43 tahun dan telah menjadi Ahli Parlimen sejak 2013 ketika berumur 36 tahun.

“Cuba bandingkan dengan parti-parti politik Melayu sekarang, hampir semua kalau tidak semua dibolot oleh orang lama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Cuba menggambarkan keadaan betapa golongan muda dipandang enteng, Prof Zainur Rashid berkata, ramai ‘warlord’ tidak mahu memberikan ruang dan peluang kepada pemimpin pelapis yang dinamik dan berkaliber.

“Saya tidak minta parti politik Melayu mencontohi dan mengikut telunjuk parti sosialis, apatah lagi parti komunis tetapi belajarlah daripada dunia antarabangsa yang terus berubah.

“Di manakah masa depan agama, bangsa dan negara kita kelak?

“Kita mesti ada agenda 10 tahun, 20 tahun dan 50 tahun, kalau pun tidak mampu merancang untuk 100 tahun ke hadapan,” katanya.

Dalam konteks ini, salah seorang Ahli Parlimen belia di Dewan Rakyat sering dijadikan bahan ejekan dan dipandang rendah oleh ahli dewan yang lebih berusia.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah digelar sebagai ‘budak’ oleh Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Dewan Rakyat.

Beliau juga pernah digelar ‘cucu’ oleh beberapa Ahli Parlimen berpihak kerajaan.

Insiden itu berlaku ketika Syed Saddiq cuba mencelah perbahasan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button