COVID-19: Gelombang baharu di Sepanyol, 1 juta berisiko hilang kerja
Pekerja perhotelan lancar tunjuk perasaan desak bantuan kerajaan
OVIEDO, 22 Muharram 1442H, Khamis – Kakitangan sektor perhotelan di Sepanyol mengadakan tunjuk perasaan semalam, bagi menyuarakan kebimbangan terhadap situasi tidak menentu berikutan berlakunya gelombang kedua COVID-19, selepas negara itu melaporkan peningkatan kes baharu wabak berkenaan.
Ribuan pekerja sektor perhotelan termasuk di bar, restoran hotel dan kelab malam melakukan demonstrasi di Jalan Madrid, yang turut dilakukan serentak di seluruh negara bagi menyuarakan nasib 1.7 juta pekerja di sektor berkenaan.
Sebilangan besar bar dan restoran di Sepanyol tetap dibuka, walaupun kelab malam ditutup bulan lalu.
Sebanyak 8,866 jangkitan baharu dilaporkan dan 34 kematian lagi sejak Selasa lalu.
Dalam tempoh 24 jam terakhir, lebih 1,100 orang dimasukkan ke hospital berikutan wabak itu.
Persatuan sektor perhotelan di Sepanyol menuntut lebih banyak langkah yang disokong oleh kerajaan untuk membantu perusahaan terjejas wabak, menerusi skim jangka panjang atau bantuan kewangan bagi merangsang semula perniagaan.
Persatuan itu mendakwa, jika tuntutan gagal dipenuhi, 85,000 perniagaan berisiko tutup dan sebanyak 1 juta orang hilang pekerjaan.
Sektor perhotelan dan pusat hiburan adalah sebahagian daripada industri pelancongan, iaitu merangkumi 6.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Kira-kira 17 peratus daripada semua katil hospital di Madrid, dihuni oleh persakit COVID-19 – lebih daripada dua kali ganda purata negara.
Sementara itu, sekolah dibuka semula minggu ini, namun terdapat beberapa kelas dan sekolah terpaksa ditutup sementara berikutan kes baharu. – Agensi