CyberSecurity Malaysia dinobat juara buat julung kali di WSIS
Kejayaan bukti kepakaran, kebolehan rakyat Malaysia di tahap global
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 22 Muharram 1442H, Khamis – Kejayaan CyberSecurity Malaysia (CSM) dinobat sebagai Project Winner bagi Kategori 5 – ‘Building Confidence and Security in Use of ICTs’ di World Summit on the Information Society (WSIS) yang diadakan di Geneva, Switzerland cukup mengharumkan nama negara di mata dunia.
CSM bergelar juara menerusi projek bertajuk Global Accredited Cybersecurity Education (ACE) Scheme: Centre of Excellence for Capacity Building and Lifelong Learning.
Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, pihaknya pernah menyertai WSIS pada tahun 2016 dan 2017 serta mendapat pengiktirafan Champion Prize – lima teratas dalam beberapa kategori.
Namun begitu, katanya, tahun 2020 adalah julung kalinya CSM dinobatkan sebagai yang terbaik di kalangan penyertaan dari seluruh dunia dalam Kategori 5.
“Kita berasa amat gembira dengan pengiktirafan ini. Dalam kategori yang kami sertai ini terdapat juga penyertaan dari China, Oman, Sri Lanka dan beberapa lagi negara dan kitalah pemenangnya.
“Kejayaan ini sekali gus menunjukkan kepakaran serta kebolehan rakyat kita, menunjukkan bahawa kita boleh capai kemenangan di tahap global.
“Malaysia mampu berdiri di persada antarabangsa, menjadi pemenang di bidang strategik keselamatan sekuriti,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Menjelaskan berkenaan projek ini, Dr Amirudin berkata, Global ACE Scheme merupakan satu skim pendidikan profesional keselamatan siber yang ditawarkan untuk dunia.
Beliau berkata, program ini turut diiktiraf oleh Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ia sejajar dengan International Organization for Standardization (ISO).
“Projek ini merupakan satu kerangka mengenai bagaimana kita mahu menjadikan orang yang nak menjalani latihan sekuriti mendapat sijil profesional. Ia satu skim yang dibangunkan oleh CSM, kerajaan, pihak swasta dan juga beberapa pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata, beberapa negara telah pun mengiktiraf program ini termasuk 16 buah negara di bawah OIC.
“Kita menjangkakan lebih banyak negara akan mengiktiraf program ini di masa akan datang. Orang mahukan skim itu kerana di negara-negara lain sudah ada proses pembangunannya. Jadi, contribution skim ini besar. Akan memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.
Kemenangan CSM adalah satu daripada 18 kategori yang dipertandingkan di WSIS Prizes 2020.
WSIS merupakan persidangan tahunan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi di dunia, yang memberi pengiktirafan ke atas inisiatif-inisiatif bagi kerajaan atau organisasi yang memanfaatkan penggunaan ICT dalam mendokong pembangunan yang mampan.