Berita Utama

Kerajaan Selangor takut? Bertegas robohkan kilang haram!

‘Jika rakyat bina rumah atas tanah rizab, cepat sahaja dirobohkan’

BANGI, 22 Muharram 1442H, Khamis – Barisan Nasional (BN) Selangor menempelak tindakan kerajaan negeri yang memberi peluang kepada pemilik kilang haram untuk membuat proses pemutihan sehingga hujung tahun ini.

Ketua Penerangannya, Isham Jalil berkata, Menteri Besar dan kerajaan negeri sepatutnya mengambil tindakan tegas dengan merobohkan kilang-kilang terbabit serta-merta.

Beliau juga menganggap tempoh lanjutan diberi kepada kilang-kilang berkenaan adalah tidak wajar, berikutan ia telah beroperasi selama 12 tahun.

“Menteri Besar dan kerajaan negeri Selangor takut kepada kilang-kilang haram ini, namun jika rakyat bina rumah atas tanah rizab, cepat sahaja mereka ambil tindakan meroboh walaupun rumah gantian tidak tersedia dan rakyat merempat,” bidasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam media melaporkan kerajaan Selangor memberi peluang kepada pemilik tanah dan kilang yang beroperasi tanpa kebenaran untuk membuat proses pemutihan sehingga hujung tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jika masih ada mereka yang ingkar berbuat demikian dalam tempoh itu, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk merobohkan struktur bangunan yang memberi impak kepada pencemaran alam sekitar.

“Kami sudah beri tawaran untuk mereka (pemilik tanah dan kilang haram) pulihkan (jalankan proses pemutihan) sejak tahun 2008 lagi. Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terakhir pada 2018 memutuskan agar tindakan itu dipanjangkan sehingga 2020. Lepas 2020 kami akan ambil tindakan perobohan dan sebagainya

“Tetapi kalau keadaan mendesak dan saya rasa kami boleh laksanakan lebih pantas menjelang bulan November atau Disember ini, atau pun awal tahun depan kami sendiri akan laksanakan secara menyeluruh proses pemutihan tersebut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button