Berita UtamaDunia

Liga Arab tolak resolusi Palestin kecam normalisasi UAE

AS didakwa 'peras ugut' negara Arab jalin hubungan dengan Israel

GAZA, 22 Muharram 1442H, Khamis – Liga Arab gagal mengeluarkan resolusi bagi mengecam Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas perjanjian normalisasi dengan Israel, kata para pegawai Palestin.

Mesyuarat Menteri Luar Arab menerusi sidang video diadakan semalam, untuk membincangkan perjanjian damai kontroversi UAE-Israel yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bulan lalu.

Duta Besar Palestin, Mohannad Aklouk memberitahu agensi berita Ma’an bahawa setelah perbincangan selama tiga jam, Palestin dan negara-negara Arab bersetuju untuk tidak memasukkan kecaman yang jelas mengenai perjanjian UAE-Israel.

“Palestin mengemukakan draf resolusi yang mengutuk perjanjian normalisasi UAE-Israel. Negara-negara Arab bagaimanapun menolak draf itu,” katanya.

Penolong Setiausaha Liga Arab, Hossam Zaki berkata, perbincangan mengenai hal ini serius, ia menyeluruh dan memerlukan sedikit masa.

“Tetapi akhirnya tidak membawa kesepakatan mengenai rancangan resolusi yang diusulkan oleh pihak Palestin,” katanya.

Beliau menyalahkan rakyat Palestin atas kegagalan badan pan-Arab menyokong resolusi itu, dengan menyatakan mereka telah menegaskan sama ada akan menerima kecaman atau tidak ada kenyataan sama sekali.

Dalam mesyuarat itu juga, Menteri Luar Palestin, Riad Malki mengecam, AS dengan menuduh Washington menggunakan ‘peras ugut’ untuk membuat lebih banyak negara Arab menormalkan hubungan dengan Israel.

Riad juga mendesak untuk mengetahui mengapa mesyuarat tergempar Majlis Liga Arab di peringkat menteri ditolak setelah perjanjian itu diumumkan bulan lalu – mengingatkan perjanjian Israel-UAE adalah ‘gempa bumi yang melemahkan tindakan bersama Arab’.

“Kami terkejut sebuah negara Arab membantah permintaan kami. Apakah negara Palestin melampaui batas untuk mengadakan mesyuarat tergempar? Adakah itu melintasi garis merah?,” soal Riad.

Pada 13 Ogos, UAE dan Israel mengumumkan perjanjian yang diterajui AS untuk memulihkan hubungan termasuk membuka pejabat kedutaan di wilayah masing-masing.

UAE adalah negara Teluk pertama dan negara Arab ketiga yang membentuk hubungan diplomatik dengan Israel selepas Mesir dan Jordan.

Rakyat Palestin bagaimanapun mengecam tindakan UAE dengan menganggapnya sebagai ‘tikam belakang’, sementara konflik mereka dengan Israel masih belum dapat diselesaikan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button