Berita Utama

Sekatan ke atas 23 negara berasaskan kriteria tertentu

Keputusan dibuat ambil kira potensi gelombang ketiga

PUTRAJAYA, 22 Muharram 1442H, Khamis – Keputusan kerajaan mengenakan sekatan kemasukan ke atas 23 negara berisiko dibuat berasaskan beberapa faktor termasuk data daripada Pusat Kawalan Penularan Wabah Eropah dan Our World in Data, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keputusan juga dibuat setelah mengambil kira potensi gelombang ketiga menjelang musim sejuk di negara empat musim tidak lama lagi.

“Ramai yang mempersoalkan seolah-olah kita (Malaysia) membuat keputusan tidak berasas. Sebenarnya kita mempunyai kriteria tertentu sebelum keputusan dibuat.

“Keputusan dibuat berdasarkan data yang menunjukkan peningkatan kes impot COVID-19 membabitkan beberapa negara. Sebab itu kita buat keputusan ini,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Memperincikan perkara itu, Ismail Sabri berkata, antara kriteria yang diambil kira ialah bilangan kes COVID-19, kadar insiden dan kematian bagi sejuta penduduk dalam tempoh 14 hari kebelakangan.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan senarai 23 negara yang rakyatnya disekat daripada memasuki Malaysia kerana mencatat kes positif COVID-19 melebihi 150,000 kes.

Negara terbabit ialah Amerika Syarikat, Brazil, India, Rusia, Peru, Colombia, Afrika Selatan, Mexico, Sepanyol, Argentina, Chile, Iran, United Kingdom, Bangladesh, Arab Saudi, Pakistan, Perancis, Turki, Itali, Jerman, Iraq, Filipina dan Indonesia.

Ismail Sabri berkata, keputusan diambil bagi memastikan penularan kes import dapat dikawal selain melindungi rakyat Malaysia daripada ancaman gelombang ketiga.

“Kita faham ada negara kesal dan kecewa malah bimbang kesan sekatan terhadap ekonomi tetapi kita mesti mengimbangi lebih-lebih lagi apabila melibatkan nyawa dan keselamatan rakyat kita,” katanya.

Beliau berkata, sekatan perjalanan itu bagaimanapun tidak dikenakan kepada diplomat asing termasuk ahli keluarga mereka serta delegasi luar yang mengadakan lawatan negara.

Selain itu katanya, kelonggaran turut diberikan kepada pemegang Pas Ekspatriat dan pekerja mahir dari negara yang tersenarai untuk memasuki Malaysia dengan syarat mereka mendapat kelulusan daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan surat sokongan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

“Bagi penduduk tetap dan pasangan warganegara Malaysia, mereka boleh memohon dengan JIM untuk memasuki Malaysia dengan syarat perjalanan sehala sahaja, prosedur sama juga dikenakan kepada pemegang pas pelajar. Bagaimanapun JIM tidak menerima permohonan pas pelajar baharu,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button