Berita Utama

SPR minta jangan percaya mesej tular daftar undi 18 tahun

Pindaan pendaftaran pemilih secara automatik selewatnya Julai 2021

BANGI, 22 Muharram 1442H, Khamis – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) meminta orang ramai supaya tidak mempercayai mesej yang ditularkan mengenai pendaftaran pengundi berusia 18 tahun.

Unit Komunikasi Korporat SPR berkata, terdapat usaha oleh pihak tidak bertanggungjawab cuba mengelirukan orang ramai berkenaan gesaan pendaftaram pengundi berusia 18 tahun.

Katanya, mesej tular yang mendakwa kononnya kenyataan daripada Pengerusi SPR bahawa terdapat 4.5 juta rakyat Malaysia yang layak masih belum berdaftar khususnya warganegara berusia 18 tahun, adalah tidak berasas.

Menurut suruhanjaya itu, warganegara yang berusia 18 tahun masih belum dibenarkan mendaftar sebagai pengundi.

“Ini adalah kerana pada masa ini SPR sedang dalam persiapan untuk melaksanakan pendaftaran pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik berdasarkan kepada pindaan Perkara 119(4) Perlembagaan Persekutuan yang telah diluluskan oleh Parlimen pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas.

“Persiapan tersebut termasuklah penyediaan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP) dan penyediaan sistem dan infrastruktur bagi pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

SPR berkata, pihaknya menjangkakan semua perkara itu akan dapat disiapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan daripada tarikh kelulusan pindaan oleh Dewan Negara pada 25 Julai 2019.

Katanya, jangkaan tarikh pelaksanaan tersebut adalah selewat-lewatnya pada bulan Julai 2021.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya tidak terpengaruh dan tidak menyebarkan mesej-mesej palsu tersebut termasuklah perkongsian di media sosial kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

“Malahan tindakan menyebarkan maklumat tidak benar dan berunsurkan perkauman ini boleh menganggu gugat ketenteraman awan dan tindakan perundangan boleh diambil ke atas mereka yan terlibat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button