Berita UtamaDunia

Tak sampai 24 jam, 12 tahanan Palestin positif COVID-19

Mereka merupakan penghuni Seksyen 14 di Penjara Ofer Israel

TEL AVIV, 22 Muharram 1442H, Khamis – Seramai 12 tahanan warga Palestin di Penjara Ofer Israel disahkan positif COVID-19, lapor agensi berita Wafa.

Menurut Persatuan Tahanan Palestin (PPS), mereka yang dijangkiti berada di Seksyen 14 penjara berkenaan dengan lima disahkan positif wabak itu petang semalam, manakala tujuh lagi pada pagi ini.

Selain itu, persatuan itu berkata, seramai 27 tahanan di beberapa penjara Israel disahkan positif COVID-19, di samping dua yang lain secara rasmi disahkan positif wabak sama setelah diuji oleh Kementerian Kesihatan Palestin sebelum segera dibebaskan.

Jumlah tahanan Palestin yang ditempatkan di penjara Israel ketika ini sekitar 5,000 orang termasuk 700 pesakit dan 41 wanita.

Dengan tiadanya langkah pengudaraan dan kesihatan, tahanan berisiko tinggi dijangkiti virus.

Pada masa sama, PPS menekankan, mengenai keperluan institusi hak asasi manusia antarabangsa yang dipimpin oleh Palang Merah Antarabangsa bagi memastikan kesejahteraan para tahanan serta menghantar jawatankuasa perubatan bebas ke penjara untuk mengadakan ujian saringan kepada lebih ramai tahanan.

PPS juga menggesa institusi hak asasi manusia terbabit memerhati gaya hidup di penjara dan memastikan langkah-langkah pencegahan mencukupi dilaksanakan.

Tambahan pula, Israel didakwa berusaha mengaburkan mata masyarakat antarabangsa dengan menyembunyikan fakta penting, terutamanya mengenai jumlah tahanan yang dijangkiti di penjara.

PPS turut memberi amaran bahawa hanya Israel yang mengetahui jumlah tepat tahanan dijangkiti COVID-19.

Sejak tahun 1967, seramai 226 orang Palestin meninggal dunia di dalam penjara Israel, di mana penyebab utama kematian adalah berpunca daripada kecuaian pekerja perubatan di bawah pihak berkuasa penjara, menurut Pihak Berkuasa Palestin – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button