Berita Utama

2 premis guna logo, sijil halal mengelirukan disita

Boleh didenda hingga RM1 juta, jual makanan halal bercampur tak halal

BANGI, 23 Muharram 1442H, Jumaat – Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembiilan menyita sebuah restoran dan kedai pinggan mangkuk di Nilai.

Tindakan itu berikutan dua premis berkenaan didapati menggunakan logo dan sijil halal yang mengelirukan orang ramai.

Pengarah KPDNHEP negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, dua premis itu disiasat di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana menggunakan perkataan ‘Halal’ pada iklan kedai dan menggunakan logo halal pembekal barangan yang sudah tamat tempoh di dalam premis perniagaan.

Beliau berkata, tindakan itu diambil dalam operasi yang dijalankan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), semalam.

“Operasi itu tertumpu kepada pemeriksaan penggunaan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ayat ‘ditanggung halal’ atau ‘makanan halal’ dan apa-apa petunjuk yang menunjukkan boleh dimakan oleh orang Islam.

“Adalah menjadi kesalahan jika premis menggunakan logo halal JAKIM tanpa kebenaran dan mempamerkan sijil halal syarikat pembekal di restoran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ain Arjuna berkata, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala RM250,000 bagi pertubuhan perbadanan.

Sementara, bagi kesalahan meletakkan makanan yang halal bercampur tidak halal sehingga mengelirukan orang awam pula boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya (individu) dan denda sehingga RM5 juta (syarikat atau pertubuhan perbadanan), katanya.

“Sejak awal tahun sehingga bulan ini, sebanyak 246 premis di seluruh negeri ini diperiksa dan sebanyak 12 premis melakukan kesalahan iaitu penggunaan logo halal syarikat pembekal bahan mentah, menggunakan sijil halal yang tamat tempoh dan mempamerkan tauliah sembelihan JHEAINS di premis makanan.

“Peniaga diingatkan supaya tidak menggunakan logo halal, sijil halal atau mempamerkan apa-apa perakuan tanpa kebenaran JAKIM. Penggunaan sijil halal atau logo halal adalah untuk pemegang sijil halal sahaja,” katanya.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan orang ramai membuat aduan terhadap penyalahgunaan logo atau sijil halal melalui [email protected] atau menghubungi KPDNHEP Negeri Sembilan melalui talian 06-6016500.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button