Dunia

COVID-19: Sukarelawan percubaan vaksin di Indonesia disah positif

Percubaan klinikal vaksin dibangunkan oleh syarikat dari China

JAKARTA, 23 Muharram 1442H, Jumaat – Seorang sukarelawan percubaan klinikal vaksin COVID-19 – yang dibangunkan oleh China – di Indonesia, didapati positif wabak itu. 

Vaksin yang dibangunkan oleh syarikat China, Sinovac Biotech itu diimport ke Indonesia menerusi Bio Farma. 

Ketua pasukan percubaan dan penyelidikan Universiti Padjadjaran, Kusnandi Rusmil berkata, sukarelawan yang dijangkiti itu telah diasingkan di bawah pengawasan ketat. 

“Setelah sembilan hari, keadaan sukarelawan terbabit nampak baik,” katanya tanpa mendedah lanjut identiti individu berkenaan.

Rusmil berkata, sukarelawan terbabit ada pergi ke luar bandar setelah mendapatkan suntikan pertama percubaan vaksin itu. 

“Dia dinyatakan sihat setelah kembali dari perjalanan dan kemudian menerima suntikan kedua,” katanya. 

Bagaimanapun, berdasarkan sejarah perjalanannya, sukarelawan itu diminta menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak berkuasa kesihatan setempat, dan disahkan positif wabak. 

Rusmil berkata, dia tidak pasti sama ada sukarelawan itu disuntik dengan vaksin berpotensi atau plasebo. 

“Ketika ujian percubaan, kita tidak dapat mengenal pasti siapa yang mendapat vaksin dan siapa yang mendapat plasebo,” katanya. 

Sukarelawan yang disuntik dengan plasebo akan dibandingkan dengan mereka yang menerima suntikan vaksin berpotensi untuk menentukan kemampuan imun. 

Katanya, kekebalan sukarelawan terhadap virus akan terbentuk setelah mendapat suntikan kedua. 

“Sukarelawan percubaan klinikal akan dipantau kesihatan mereka selama enam bulan setelah suntikan terakhir,” katanya.

Pasukan percubaan itu menjalankan tiga fasa ujian klinikal, yang bermula pada awal Ogos hingga enam bulan terakhir. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button