Dunia

ICRC minta jaminan keselamatan iring pesakit dari Gaza ke sempadan Mesir

Operasi terpaksa dihenti sementara selepas konvoi diserang rejim Israel

GAZA, 26 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menyambung semula mengiring pesakit ke sempadan Gaza selepas operasi itu terhenti sementara ekoran serangan Israel ke atas konvoinya awal minggu ini.

Ketua Pejabat ICRC menyifatkan serangan ke atas konvoinya itu sebagai membimbangkan dan meminta jaminan keselamatan.

ICRC – sebuah organisasi neutral yang berpangkalan di Geneva – telah berperanan mengiringi pesakit dan membebaskan tebusan keluar dari Gaza sejak konflik Israel-Palestin bermula lebih sebulan lalu.

Jawatankuasa itu dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“ICRC disasarkan sehari sebelum semalam, dan itu tidak boleh diterima.

“Kami berhenti sebentar semalam (Rabu), dan menyambung semula pemindahan pesakit dari bandar Gaza ke sempadan Mesir pada Khamis,” kata ketua delegasi ICRC di Gaza, William Schomburg.

Pengganas Israel telah mengebom Gaza berulang kali sebagai tindak balas kepada serbuan rentas sempadan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober.

Serangan tanpa henti rejim itu juga mengakibatkan lebih 10,000 rakyat Palestin dibunuh, di mana kira-kira 40 peratus daripadanya adalah kanak-kanak.

Schomburg turut memberitahu bahawa seorang rakan sekerjanya telah hilang selama berminggu-minggu sejak konflik itu berlaku.

“Ia adalah gambaran yang sangat sukar sekarang apabila melihat ribuan penduduk dalam ketakutan, membawa sedikit harta benda mereka dan beberapa mereka mengibar bendera putih ketika berjalan kaki demi mencari keselamatan dan perlindungan.

“Melainkan terdapat pengurangan serangan dan bantuan kemanusiaan masuk pada kadar lebih tinggi, kerana kehidupan orang awam semakin tertekan apabila sumber menjadi semakin terhad,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button