Berita UtamaIstimewa

Kilang haram: Tak perlu pemutihan, bawa terus ke muka pengadilan!

Ambil tindakan tegas, bukan diberi peluang atau dihalalkan

BANGI, 23 Muharram 1442H, Jumaat – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya meluahkan rasa hairan apabila tauke-tauke yang melakukan pencerobohan atau perkara haram sering kali mendapat peluang untuk membuat ‘pemutihan’ sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman kerajaan negeri Selangor memberi peluang kepada pemilik tanah dan kilang yang beroperasi tanpa kebenaran untuk membuat proses pemutihan sehingga hujung tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jika masih ada mereka yang ingkar berbuat demikian dalam tempoh itu, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk merobohkan struktur bangunan yang memberi impak kepada pencemaran alam sekitar.

Haji Aminuddin turut memberi contoh isu pencerobohan tanah di Raub, Pahang, di mana pemutihan juga ditawarkan oleh Exco Pelancongan Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, tetapi akhirnya melakukan ‘pusingan U’ hasil desakan rakyat. 

“Tetapi ‘layanan’ istimewa tetap diperoleh, melalui pembelaan melalui parti politik dan ‘deal’ belakang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tidak mahu ia berulang, Haji Aminuddin menggesa pihak yang menjalankan operasi secara haram dalam isu kilang haram di Selangor pula, dibawa ke muka pengadilan kerana ia cukup menyusahkan seluruh rakyat. 

“Maka, tindakan yang tegas harus diambil dan bukannya diberi apa-apa peluang, jauh sekali untuk pemutihan atau ‘dihalalkan’. Hukuman tetap mesti diteruskan,” katanya 

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan, mengapa mereka – operasi kilang haram – dibiarkan untuk tempoh yang lama untuk dikesan, iaitu sejak tahun 2018.

“Takkan apabila sudah berlaku pencemaran yang teruk sebegini baru nak kesan? Atau apakah ada dalang di belakang semua ini? SPRM patut siasat segala kemungkinan ini. 

“Kita gesa agar jangan ada rundingan dilakukan, termasuklah apa-apa rundingan di belakang tabir. 

“Kilang mesti ditutup serta-merta dan tidak dibenarkan operasi. Sangat tidak adil untuk rakyat yang keselesaan hidup mereka tergendala berhari-hari tetapi kilang tersebut boleh pula bersenang-lenang,” tegasnya.

Pada masa sama, Haji Aminuddin berkata, pemilik tanah juga perlu dikenakan tindakan kerana membiarkan kilang haram beroperasi di tanah mereka hingga mengakibatkan pencemaran yang teruk. 

“Kita menggesa kerajaan dan pihak berkuasa proaktif mengenal pasti operasi-operasi haram lebih-lebih lagi apabila yang melibatkan kesejahteraan awam. 

“Kita tidak mahu asyik terhantuk, baru nak terngadah sahaja (dan berulang-ulang sahaja). Rakyat akan terus memerhati,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button