Berita Utama

PKPD: Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim beroperasi seperti biasa

Semua penumpang diingat patuhi SOP di lapangan terbang

ALOR SETAR, 23 Muharram 1442H, Jumaat – Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) akan beroperasi seperti biasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di daerah Kota Setar.

Menurut Malaysia Airport dalam kenyataan, sepanjang tempoh PKPD, sebarang pergerakan penumpang keluar dan masuk melalui perjalanan udara menerusi lapangan terbang itu perlu mendapat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Semua penumpang diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa berada di lapangan terbang seperti menggunakan pengimbasan kod QR ‘MySejahtera’, memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, penumpang boleh menghubungi syarikat penerbangan masing-masing sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan.

Dalam pada itu, Pengurus LTSAH Lokman Ahmad ketika dihubungi Bernama menjelaskan penumpang yang tinggal di dalam kawasan PKPD tidak dibenarkan untuk keluar atau masuk ke daerah Kota Setar melalui lapangan terbang berkenaan.

“Penumpang yang alamat tinggalnya di Kota Setar, mereka tidak dibenarkan untuk keluar atau masuk kecuali mempunyai surat kebenaran daripada pihak polis. Tetapi kalau penumpang itu dari negeri atau daerah lain, mereka boleh meneruskan perjalanan penerbangan ke destinasi masing-masing,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button