Berita Utama

Sindiket salah guna nama Maahad Imtiyaz kutip sumbangan

Jangan mudah terpedaya, siasat kesahihan surat keizinan kutipan sumbangan

BANGI, 23 Muharram 1442H, Jumaat – Pihak Maahad Imtiyaz menggesa orang ramai agar tidak terpedaya dengan sindiket kutipan sumbangan wakaf pembelian al-Quran untuk pelajar maahad tersebut, yang dipercayai berlaku sejak Ogos lalu.

Pengetuanya, Ustaz Haidar Mahmud memaklumkan, maahad  berkenaan pernah memberi keizinan kepada sebuah syarikat yang menawarkan khidmat mencari pewakaf untuk mewakafkan al-Quran iaitu syarikat MXE Distributor, namun kutipan itu hanya berlangsung pada bulan Julai sahaja.

Katanya, pihak syarikat MXE Distributor juga telah selesai menyerahkan sebanyak 84 buah al-Quran kepada pelajar Maahad Imtiyaz, seperti yang dipersetujui pada 29 Julai.

Bagaimanapun, beliau berasa terkejut apabila menerima beberapa panggilan daripada orang ramai bermula Ogos hingga September bahawa kutipan itu masih dijalankan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menyalahgunakan nama Maahad Imtiyaz dan MXE Distributor.

“Surat keizinan yang saya keluarkan untuk mengutip sumbangan wakaf al-Quran masih digunakan oleh beberapa individu yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan untuk mengutip duit daripada orang ramai.

“Mereka menggunakan nama MXE Distributor. Saya juga telah mengadukan perkara ini beberapa kali kepada pihak MXE Distributor. Namun masalah ini masih berlaku,” katanya.

Bimbang dengan keadaan itu, Ustaz Haidar membuat laporan polis bagi menafikan penglibatan Maahad Imtiyaz dalam sindiket penipuan ini.

Katanya, MXE Distributor turut membuat laporan polis berikutan kejadian berkenaan.

“Orang ramai yang tahu kutipan itu masih berjalan boleh laporkan kepada pihak polis. Kerana kita bimbang ‘scam’ ini akan berleluasa.

“Kesannya, orang ramai akan mulai ragu-ragu untuk menyumbang jika scam berbentuk penipuan sumbangan begini tidak dibanteras segera,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai supaya berhati-hati dan cakna akan sumbangan yang ingin diberikan.

“Pastikan surat diberi itu surah yang sah. Segala maklumat sahih dan benar. Dapatkan kepastian dari pihak sepatutnya,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button