Berita Utama

BERJASA bukan parti ‘warlord’, bebas pengaruh kapitalis dan kroni

Prinsip parti beridentitikan watan, terima kemajmukan masyarakat berbilang kaum

Oleh Fazleen Safina

PUCHONG, 24 Muharram 1442H, Sabtu – Kebanyakan parti politik di negara ini bergelumang dengan rasuah dan wang, dakwa Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi Berjasa (ANGKASA) Hazwan Mohamad.

Beliau berkata, perkara berkenaan telah menjadi barah yang kronik sehingga mengakibatkan pendirian dan prinsip individu boleh ditolak dan dikuis saban hari.

“Hari ini bercakap lain, esok boleh bercakap lain. Minggu depan boleh keluarkan fatwa dan dalil yang lain.

“Sedangkan sebelum ini pendiriannya lain,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Wajah Baharu Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), di sini, hari ini.

Bagaimanapun Hazwan menegaskan, budaya ‘warlord’ atau ugut dan tabur itu tidak wujud di dalam parti BERJASA.

Malah, katanya, prinsip parti yang beridentitikan watan itu juga sama sekali tidak bertentangan dengan perjuangan Islam, Melayu sebagai asas dan tonggak negara serta institusi kedaulatan Raja-Raja.

Tegas beliau, BERJASA menerima kemajmukan masyarakat berbilang kaum.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan supaya Malaysia perlu mempunyai satu identiti nasional.

“Dari sudut pendidikan, anak-anak mesti disatukan di bawah satu bumbung, manakala dari sudut ekonomi, anak muda mesti diberi peluang menggubal dasar dan polisi kerajaan.

“Bukan sekadar jadi pak turut, bukan setakat jadi kroni dan tunduk kepada kapitalis ekonomi semata-mata.

“Sebab itu kami (BERJASA) tidak terikat, bukan menagih atas kroni dan kapitalis. Kami adalah parti bebas ‘warlord’, bebas kapitalis, kami kekal dengan prinsip dan perjuangan parti,” tegasnya.

Boleh lihat video di: https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/852805512158120/?vh=e&extid=oL6tQvgrkwLq7iOR

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button