Berita Utama

BERJASA parti rakyat jelata, anak muda nadi perjuangan

Parti politik perlu adakan rundingan, fikir perkara terbaik untuk rakyat, negara

Oleh Fazleen Safina

PUCHONG, 24 Muharram 1442H, Sabtu – Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA) bukan parti pemecah bangsa Melayu, sebaliknya parti rakyat jelata – yang mana anak muda adalah nadi kepada perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

Dengan penuh kejujuran, keikhlasan dan prisip serta kesetiaan kepada agama, bangsa dan negara. Kami akan terus mara ke hadapan.

Presidennya, Datuk Dr Ir Badrulhisham Abdul Aziz berkata, sebelum parti Melayu seperti PAS dan UMNO bergabung, BERJASA terlebih dahulu telah mengemukakan slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat, yang mengajak semua orang Melayu dan Islam untuk bersepakat.

Beliau berkata, slogan berkenaan yang telah dicipta oleh Naib Presiden parti, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman pada 2010, turut dibawa dan diangkat oleh calon-calonnya ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Sebab itu kami tumpu tempat bertanding di kawasan majoriti orang Melayu, demi mengutamakan kesatuan orang Melayu,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Wajah Baharu BERJASA di sini, hari ini.

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Badh berkata, parti-parti politik di negara ini perlu mengadakan rundingan bagi memikirkan perkara terbaik untuk rakyat dan negara.

“Tapi, persoalan sekarang, mahukah parti-parti lain bertindak seperti itu atau mereka cuma mengira undi supaya terus berkuasa?,” soalnya.

Tok Badh berkata, penyatuan parti-parti politik perlu berasaskan agenda yang memberi manfaat kepada negara.

Beliau turut menyarankan supaya agenda politik baharu perlu melangkaui ketaksuban parti.

“Boleh kita duduk bersama dan tumpukan kepada satu calon tidak kira dari parti mana. Kita cari jalan yang terbaik untuk negara. Ini penting dan banyak negara lain telah buat perkara itu.

“Dan hari ini terbukti ada yang tak setia pada negara kerana mereka tak berpegang kepada prinsip.

“Sebaliknya mereka berpegang kepada siapa yang boleh bayar mereka lebih. Keadaan ini perlu dihentikan,” katanya.

Boleh lihat video di: https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/852805512158120/?vh=e&extid=oL6tQvgrkwLq7iOR

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button