Dengki! Tentera Israel pasang pembesar suara di Masjid al-Aqsa
Sengaja ganggu jemaah muslim dengan pengumuman, arahan di perkarangan masjid
BAITULMAQDIS, 24 Muharram 1442H, Sabtu – Rakyat Palestin berang dengan tindakan tentera pengganas Israel memasang pembesar suara di dinding utara dan barat perkarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis.
Sistem pembesar suara itu membenarkan pasukan Israel untuk terus mengganggu jemaah muslim di masjid dengan membuat pengumuman dan arahan kepada mereka yang berada di perkarangan tersebut.
Ini adalah set pembesar suara ketiga yang dipasang oleh pihak berkuasa Israel sejak 2017 – berhampiran pembesar suara yang dikendalikan oleh Islamic Waqf, pihak yang mengelolai kawasan itu.
Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Deifallah Fayez mendakwa, tindakan rejim Zionis sangat tidak masuk akal dan perbuatan mereka sebenarnya adalah provokasi terhadap umat Islam seluruh dunia.
Serentak itu, beliau mendesak masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawab dan memberikan tekanan kepada Israel supaya menghentikan serangannya yang melanggar undang-undang antarabangsa.
Bekas Mufti Agung Masjid Al-Aqsa, Ekrima Sabri, mengatakan kepada Middle East Eye bahawa Israel berusaha untuk ‘meningkatkan’ kedaulatannya ke atas masjid dan menghancurkan Islamic Waqf.
Beliau berkata: “Langkah-langkah pendudukan terhadap al-Aqsa tidak sah dan haram. Kami tidak mengenali mereka.
“Kami menganggap pemerintah Israel bertanggungjawab kerana melanggar kesucian al-Aqsa, pihaknya bertanggungjawab secara langsung atas setiap serangan dan pihak yang melindungi peneroka haram menyerbu perkarangan ini.”
Masjid Al-Aqsa adalah tempat paling suci ketiga di dunia untuk umat Islam. Orang Yahudi menyebut kawasan itu sebagai Temple Mount, dengan menyatakan bahawa ia adalah lokasi dua kuil Yahudi pada zaman dahulu.
Israel menduduki Baitulmaqis, tempat Al-Aqsa berada, ketika Perang Arab-Israel 1967. Zionis menduduki secara haram seluruh kota pada tahun 1980 dalam gerakan yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. – Agensi